KERAJAAN Persekutuan akan terus komited memperkasa agenda pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Johor meskipun Barisan Nasional (BN) diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus kini bukan lagi kepada persaingan politik, sebaliknya memastikan khidmat terbaik dapat diberikan kepada rakyat demi kemajuan negeri itu.
“Pilihan raya dan pesta demokrasi telah pun melabuhkan tirainya. Kini adalah masa untuk kita melangkah ke depan, mengutamakan khidmat dan amanah kepada rakyat dan bersama-sama membina sebuah Johor yang lebih makmur dan maju.
“Kerajaan Persekutuan juga kekal komited memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor terus diperkasa dan ditambahbaik,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anwar merakamkan ucapan tahniah kepada BN atas mandat yang diberikan rakyat Johor dan berharap amanah itu dipikul sebaik-baiknya demi kepentingan negeri serta rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi Johor yang menunaikan tanggungjawab pada PRN berkenaan serta semua petugas dan jentera yang bekerja keras sepanjang tempoh kempen.
“Tahniah kepada Barisan Nasional atas mandat yang diberikan rakyat Johor. Semoga amanah ini dipikul dengan sebaik-baiknya demi kepentingan negeri dan rakyat.
“Tekad kami jelas, 𝐬𝐞𝐦𝐮𝐚 𝐜𝐚𝐥𝐨𝐧 PH 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐤𝐢𝐫𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐚𝐡𝐮𝐩𝐮𝐧 𝐭𝐞𝐰𝐚𝐬, 𝐝𝐢𝐦𝐢𝐧𝐭𝐚 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐦𝐞𝐧𝐞𝐫𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐡𝐢𝐝𝐦𝐚𝐭 𝐦𝐞𝐦𝐛𝐚𝐰𝐚 𝐬𝐮𝐚𝐫𝐚 𝐫𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭,” katanya.





