
JOHOR BAHRU – Beberapa pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya berpandangan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, wajar diberi peluang untuk meneruskan usaha membangunkan negara selepas mengambil alih pentadbiran sejak tiga tahun lalu.
Seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Tee berkata, tugas sebagai Perdana Menteri bukan sesuatu yang mudah kerana perlu mengurus kepentingan masyarakat pelbagai kaum serta cabaran ekonomi negara.
Menurutnya, Anwar menunjukkan komitmen tinggi dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin negara menerusi pendekatan turun padang dan usaha mendengar masalah rakyat.
“Anwar sudah bekerja keras. Baru tiga tahun memimpin, tetapi sudah menunjukkan pencapaian yang baik. Beri peluang sekurang-kurangnya satu penggal lagi supaya beliau dapat meneruskan kerja yang sedang dilakukan,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), semasa Majlis Makan Malam Harapan, di sini, pada Khamis.

Dia berkata, mengurus negara dengan masyarakat berbilang kaum bukan perkara mudah kerana setiap keputusan perlu mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk Melayu, Cina, India serta masyarakat di Sabah dan Sarawak.
“Kerja Perdana Menteri bukan senang. Semua orang ada pandangan masing-masing. Ada yang kata boleh, ada yang kata tidak boleh. Tetapi tanggungjawab itu besar kerana perlu menjaga semua golongan rakyat,” katanya.
Tee berkata, usaha Anwar mengembalikan imej Malaysia di peringkat antarabangsa turut dilihat sebagai sesuatu yang positif, selain kesungguhan Perdana Menteri turun padang bertemu rakyat.
“Setiap hari dia bergerak ke sana sini, melawat kawasan dan mendengar masalah rakyat. Ini sesuatu yang kita jarang lihat sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengundi Johor Jaya yang hanya mahu dikenali sebagai Tai berkata, rakyat perlu menilai prestasi kerajaan berdasarkan usaha yang dilakukan, bukan semata-mata sentimen politik.
Dia berkata, pembangunan negara memerlukan pengurusan kewangan yang baik kerana kesan daripada keputusan kerajaan terdahulu turut memberi cabaran kepada pentadbiran semasa.
Ujarnya, negara sebenarnya mempunyai kemampuan untuk membangunkan rakyat termasuk menyediakan kemudahan pendidikan, pembangunan kawasan serta membantu golongan memerlukan sekiranya kewangan negara diurus dengan baik.
“Malaysia sebenarnya boleh maju. Jika wang rakyat digunakan dengan betul, banyak perkara boleh dilakukan untuk rakyat termasuk pembangunan sekolah, kemudahan awam dan membantu golongan miskin,” katanya.

Tambahnya, rakyat perlu menghormati proses demokrasi dengan memilih pemimpin berdasarkan kemampuan serta usaha yang ditunjukkan.
“Pilihan raya adalah hak rakyat. Siapa menang atau kalah perlu diterima dengan baik. Yang penting, kerajaan yang dipilih perlu bekerja untuk rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai Anwar, dia berkata, Perdana Menteri berdepan cabaran besar selepas mengambil alih pentadbiran negara, namun usaha yang dilakukan perlu dinilai secara adil.
“Apabila seseorang menjadi Perdana Menteri, tanggungjawab sangat besar. Bukan mudah untuk menjaga semua kaum dan wilayah. Sebab itu kita perlu melihat usaha yang dilakukan,” katanya.
Dia turut berharap kempen pilihan raya berlangsung secara matang dengan memberi tumpuan kepada isu pembangunan dan kepentingan rakyat.
“Pilihan rakyat perlu dihormati. Kerajaan yang dipilih perlu diberi ruang untuk menjalankan tugas demi kebaikan negara,” katanya.



