
KUALA PERLIS – Pembukaan semula laluan feri antarabangsa Kuala Perlis-Satun bermula hari ini dilihat selari dengan aspirasi kerajaan MADANI dalam memperkukuh hubungan serantau, merancakkan ekonomi setempat serta memperluas jaringan pelancongan rentas sempadan.
Ia dilihat selaras dengan aspirasi kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Malaysia dan Thailand sepakat memperkukuh Perkongsian Strategik kedua-dua negara menerusi kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, pengoperasian penuh perkhidmatan feri itu turut mengaktifkan semula Kuala Perlis sebagai pintu masuk ketiga negeri ini selepas Padang Besar dan Wang Kelian.
Katanya, pembukaan semula laluan tersebut bukan sekadar memulihkan hubungan pergerakan antara Perlis dan Satun, malah menjadi langkah strategik kerajaan negeri bagi menjana limpahan ekonomi kepada rakyat setempat khususnya di Kuala Perlis.
“Hari ini bermulanya pengoperasian sepenuhnya perkhidmatan feri Satun-Kuala Perlis dan Kuala Perlis-Satun.
“Pada pagi ini, kita menyambut delegasi yang dipimpin Timbalan Gabenor Satun sebagai meraikan pembukaan semula ataupun pengaktifan semula laluan pintu masuk Kuala Perlis-Satun,” katanya ketika ditemui di pekarangan Pejabat Imigresen Kuala Perlis di sini hari ini.
Menurut Abu Bakar, pengoperasian semula laluan antarabangsa itu dimulakan dengan ketibaan feri dari Satun ke Kuala Perlis pagi tadi bersama delegasi Thailand yang dipimpin Timbalan Gabenor Satun.
Beliau berkata, kerajaan negeri melaksanakan pengaktifan semula laluan tersebut secara berfasa bermula dengan usaha menghidupkan semula perkhidmatan feri sebelum diteruskan dengan kerja penambahbaikan dan susun atur kawasan terminal Konkos.
Katanya, penambahbaikan itu penting bagi memastikan Kuala Perlis benar-benar bersedia berperanan sebagai pintu masuk antarabangsa yang lebih tersusun sebelum perasmian oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Abu Bakar berkata, perjalanan feri kira-kira 40 minit dari Kuala Perlis ke Satun turut menawarkan laluan alternatif kepada pelancong selain membantu mengurangkan kesesakan di pintu sempadan Padang Besar dan Wang Kelian terutama pada musim cuti.
“Dengan adanya pembukaan pintu ini, banyak isu dapat diselesaikan termasuk urusan kemasukan melalui laluan sah.
“Dari segi ekonomi pula, Kuala Perlis dijangka menerima limpahan pelancong dan pengunjung dari Thailand yang datang membeli barangan keperluan harian serta barangan lain sekali gus membantu meningkatkan ekonomi setempat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, pembukaan semula laluan itu turut memberi manfaat kepada penduduk Thailand yang mempunyai hubungan kekeluargaan di Perlis.
Katanya, penduduk dari selatan Thailand khususnya kawasan Pulau Panjang, Puyu, Tanjung Gaboh dan Temerlang boleh menggunakan laluan berkenaan melalui proses imigresen biasa termasuk cop pasport tanpa perlu memohon kebenaran khas dalam keadaan tertentu.
Sementara itu, anggota delegasi Thailand, Assaman Ma-Ormeen menyifatkan pengoperasian feri dari Tammalang ke Kuala Perlis sebagai permulaan penting dalam memperkukuh hubungan pelancongan antara Satun dan Perlis.
“Hari ini kami bergerak dari Tammalang ke Kuala Perlis sempena hari pertama perjalanan feri bagi laluan ini.
“Ini merupakan satu peluang yang sangat baik kepada sektor pelancongan kedua-dua negara, khususnya antara Satun dan Kuala Perlis. Kami berharap pengoperasian laluan ini dapat memberi manfaat serta menyumbang kepada kemajuan sektor pelancongan di kedua-dua wilayah,” katanya.




