Tiga bekas ADUN gagal cabar kekosongan kerusi DUN Perlis

KANGAR – Tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis gagal mencabar keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis berhubung pengisytiharan kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi DUN pada Disember tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Kangar hari ini membenarkan permohonan Speaker DUN Perlis untuk membatalkan saman pemula yang difailkan bekas ADUN Chuping, Saad Seman; bekas ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan bekas ADUN Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini mencabar keputusan Speaker DUN Perlis pada 25 Disember 2025 berhubung pengisytiharan kekosongan luar jangka tiga kerusi DUN berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas berkata, keputusan Speaker itu dibuat dalam lingkungan kuasa perlembagaan dan undang-undang di bawah Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

Katanya, tindakan Speaker berhubung kekosongan luar jangka tersebut berkaitan dengan urusan penting dan teras DUN serta secara amnya tidak boleh diadili oleh mahkamah.

“Mahkamah berpandangan tindakan plaintif mempersoalkan perkara-perkara yang dipertimbangkan oleh defendan pertama sebagai Speaker dalam membuat keputusan berkaitan DUN secara amnya tidak boleh diadili oleh mahkamah.

“Ini kerana keesahan prosiding dalam DUN tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah. Kekebalan ini timbul daripada doktrin pengasingan kuasa antara badan eksekutif, perundangan dan kehakiman,” katanya dalam alasan penghakiman ringkas hari ini.

Mohamad Abazafree berkata, keputusan Speaker itu nyata berkaitan urusan penting dalam parameter Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis walaupun dibuat di luar prosiding Dewan.

Katanya, mahkamah tidak akan bertindak sebagai pengadil terhadap keputusan tersebut kerana tindakan itu akan membuka ruang kepada mahkamah untuk mengadili pertimbangan Speaker dalam perkara yang bukan berada dalam bidang kuasa mahkamah.

“Jika mahkamah bertindak untuk meneliti perkara-perkara yang diberi pertimbangan oleh defendan pertama, maka ia membuka ruang kepada mahkamah untuk mengadili keputusan dan pertimbangan yang diambil oleh defendan pertama.

“Ini menjadikan mahkamah telah mengadili suatu perkara yang bukan berada dalam bidang kuasa mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan dalam kes Teng Chang Khim v. Badrul Hisham Abdullah & Anor sebelum ini memutuskan bahawa keputusan Speaker menentukan sama ada wujud kekosongan luar jangka berdasarkan kuasa yang diberikan kepadanya adalah tidak boleh diadili oleh mahkamah.

Katanya, mahkamah tidak boleh mengabaikan keputusan duluan yang mengikat serta prinsip undang-undang yang mantap dalam menentukan perkara berkenaan.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan permohonan Speaker di bawah Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan membatalkan saman pemula yang difailkan tiga bekas ADUN berkenaan.

Mahkamah bagaimanapun tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Related Posts

Fahmi Fadzil bakal bergelar Datuk Seri, Seniman Nordin Ahmad dianugerah Datuk

GEORGETOWN – Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mendahului senarai penerima Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Ulang Tahun ke-85 Yang Dipertua Negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Solat Jumaat di surau IOI City Mall hanya kebenaran sementara atas perkenan Sultan Selangor

SHAH ALAM – Kebenaran mendirikan solat Jumaat di Surau IOI City Mall, Putrajaya adalah bersifat sementara dan telah diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sejak September tahun…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Onn pandang serius isu pencerobohan bot pukat tunda, tindakan segera akan diambil

Onn pandang serius isu pencerobohan bot pukat tunda, tindakan segera akan diambil

Trafik sesak ke Johor isyarat rakyat serius tunaikan tanggungjawab pulang mengundi

Trafik sesak ke Johor isyarat rakyat serius tunaikan tanggungjawab pulang mengundi

11.59 malam ini tamat tempoh berkempen PRN Johor – SPR

11.59 malam ini tamat tempoh berkempen PRN Johor – SPR

SPR perkemas persiapan akhir hadapi hari pengundian esok

SPR perkemas persiapan akhir hadapi hari pengundian esok

Kerajaan MADANI utamakan kebajikan rakyat, bukan persepsi politik – Mat Sabu

Kerajaan MADANI utamakan kebajikan rakyat, bukan persepsi politik – Mat Sabu

EAIC syor KDN, JPN semak semula proses naturalisasi pemain Harimau Malaya

EAIC syor KDN, JPN semak semula proses naturalisasi pemain Harimau Malaya