
JOHOR BAHRU – Keputusan Pas untuk tidak membentangkan manifesto menyeluruh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta hanya meletakkan sasaran menjadi pembangkang yang berwibawa menunjukkan gabungan itu semakin kehilangan keyakinan untuk menawarkan diri sebagai kerajaan alternatif kepada rakyat.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Suhaizan Kayat berkata, pendirian berkenaan amat pelik bagi sebuah gabungan politik besar yang pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, mana-mana parti atau gabungan politik yang bertanding dalam pilihan raya sepatutnya mempunyai cita-cita untuk membentuk kerajaan dan menawarkan pelan pentadbiran yang jelas kepada rakyat.
“PN pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, namun hari ini mereka dilihat berdepan pelbagai masalah dan pertembungan dalaman sehingga tidak lagi menampilkan keyakinan untuk menjadi kerajaan.
“Bagi saya, apabila sebuah parti atau gabungan politik tidak lagi bercita-cita untuk membentuk kerajaan, itu menunjukkan kedudukan politik mereka semakin merosot. Sebuah gabungan besar sepatutnya mempunyai visi dan keyakinan untuk mentadbir, bukannya sekadar berpuas hati menjadi pembangkang,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) selepas sesi ‘Walkabout Meet & Greet’ di Pasar Malam Larkin Aman, pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa parti itu tidak akan membentangkan manifesto menyeluruh pada PRN Johor, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menjadi pembangkang yang berkesan di Dewan Undangan Negeri.
Dalam pada itu, Suhaizan turut menggesa penyokong Perikatan Nasional (PN), khususnya di Johor, supaya mempertimbangkan untuk memberikan sokongan kepada PH demi memastikan kestabilan politik dan kelancaran pelaksanaan dasar pembangunan.
Menurutnya, keselarasan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi memastikan segala dasar serta inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
“Pengalaman menunjukkan apabila kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak sehaluan, pelaksanaan dasar boleh berdepan pelbagai kekangan.
“Banyak dasar yang dirangka di peringkat Persekutuan memerlukan kerjasama kerajaan negeri untuk dilaksanakan. Jika kerajaan negeri tidak bersama atau tidak memberikan komitmen yang sewajarnya, pelaksanaannya akan menjadi lebih sukar dan akhirnya rakyat yang menerima kesan,” katanya.
Beliau berkata, atas sebab itu rakyat perlu mempertimbangkan kepentingan mewujudkan keselarasan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, cekap dan berkesan.



