
RANTAU PANJANG – Seorang lelaki warga Thailand ditahan selepas disyaki menggunakan pangkalan haram untuk memasuki semula Malaysia walaupun memiliki cop kemasukan yang sah melalui Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang pada Ahad.
Lelaki berusia 30 tahun itu dikesan anggota Task Force Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu ketika menaiki bot dari Thailand sebelum mendarat di pangkalan haram Azizah kira-kira jam 6 petang.
Komander Briged Tenggara, Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan terhadap suspek tidak menemukan sebarang barangan menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun, katanya, semakan pasport mendapati lelaki itu mempunyai cop kemasukan yang sah ke Malaysia melalui ICQS Rantau Panjang pada hari yang sama.
“Hasil soal siasat mendapati suspek memasuki Malaysia melalui ICQS Rantau Panjang sebelum berpatah balik ke Thailand.
“Dia mendakwa pulang ke negara itu untuk membeli beberapa barangan bagi diberikan kepada isterinya sebelum memasuki semula Malaysia melalui pangkalan haram,” katanya pada Isnin.
Menurut Ahmad Radzi, siasatan turut mendapati suspek bekerja di sebuah kedai makan di Gambang, Kuantan sejak hampir dua tahun lalu dan memasuki Malaysia bagi tujuan pekerjaan.
Beliau berkata, suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Katanya, PGA akan terus memperhebat rondaan dan pemantauan di kawasan sempadan bagi mengekang kegiatan rentas sempadan secara haram serta membanteras aktiviti jenayah di kawasan berkenaan.






