
KOTA KINABALU – Pembedahan pemisahan pasangan kembar siam jenis Pygopagus berjaya dilaksanakan buat pertama kali di Sabah, sekali gus membuka lembaran baharu dalam rawatan pembedahan pediatrik berisiko tinggi di negeri berkenaan.
Prosedur yang dijalankan pada 2 Julai lalu itu dilaksanakan oleh pasukan pakar di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) dengan kerjasama pelbagai disiplin kepakaran termasuk pakar dari Semenanjung Malaysia.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam satu kenyataan di laman sosial berkata, pasangan bayi perempuan dari kawasan pedalaman Sabah itu dilahirkan secara pramatang pada usia kandungan 32 minggu, dengan seorang daripadanya mengalami komplikasi jantung dan kegagalan buah pinggang, menyebabkan pembedahan perlu dilakukan lebih awal ketika bayi berusia 28 hari.
“Kembar siam jenis Pygopagus merujuk kepada percantuman pada bahagian tulang punggung (sacrum), neural tube, bahagian bawah saluran pencernaan dan alat kelamin.

“Pembedahan itu membabitkan kepakaran dalam bidang Neonatologi, Anestesiologi, Pembedahan Pediatrik, Pembedahan Otak dan Saraf Tunjang, Neurosurgeri, Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Radiologi, selain pasukan jururawat dan kakitangan sokongan klinikal,” kongsi kenyataan tersebut, pada Isnin.
Hasil pembedahan itu, menurut JKNS, kedua-dua bayi berjaya dipisahkan dan kini berada dalam keadaan stabil serta sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

Dalam pada itu, JKNS berkata, kejayaan berkenaan mencerminkan peningkatan keupayaan kepakaran pembedahan kompleks di Sabah, sekali gus membolehkan lebih ramai pesakit kanak-kanak menerima rawatan khusus di negeri ini tanpa perlu dirujuk ke pusat perubatan di Semenanjung.
Tambahnya lagi, perkembangan itu bukan sahaja mempercepat akses kepada rawatan, malah dapat mengurangkan beban emosi, kewangan dan logistik yang ditanggung keluarga pesakit.







