
PUCHONG – Aktiviti riadah hujung minggu bertukar detik cemas buat seorang wanita selepas dia mengalami kecederaan fizikal ketika mendaki di kawasan rekreasi Bukit Wawasan, di sini, semalam.
Walau bagaimanapun, tindakan pantas pasukan penyelamat yang dikerahkan ke lokasi berjaya menjejaki kedudukan mangsa sebelum membawanya turun ke kaki bukit dalam tempoh singkat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong memaklumkan, pihaknya mengaktifkan operasi khidmat khas penyelamatan tersebut sejurus menerima panggilan kecemasan daripada rakan pendaki yang melaporkan insiden berkenaan.
“Rentetan laporan yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota daripada Pasukan C BBP Puchong telah dikerahkan ke lokasi bagi mengesan kedudukan mangsa.
“Sebaik tiba di titik kejadian, hasil penilaian situasi mendapati seorang mangsa wanita berada dalam keadaan trauma akibat mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki, sekali gus membataskan pergerakannya untuk turun sendiri,” katanya.
Menurut BBP, memandangkan laluan trek bukit yang agak mencabar dan berisiko memburukkan lagi tahap kecederaan mangsa.
“Anggota bomba bertindak memberikan rawatan awal bagi menstabilkan kecederaan mangsa sebelum meletakkannya di atas usungan khas,” katanya.
Jelasnya, pasukan penyelamat bergilir-gilir mengusung mangsa menyusuri laluan trek turun ke bawah dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang implikasi atau komplikasi lain.
“Operasi menyelamat itu berjalan lancar tanpa sebarang kekangan luar jangka. Mangsa akhirnya berjaya dibawa keluar ke kawasan selamat sepenuhnya pada sebelah petang,” ujarnya.
Tambahnya, mangsa yang terselamat itu kemudiannya diserahkan kepada petugas perubatan untuk menerima rawatan klinikal susulan bagi memulihkan kecederaan pada kakinya.
Foto: BBP Puchong




