
MIRI – Penganjuran Taste of Borneo Cultural Carnival 4.0 pada Sabtu melakar sejarah apabila berjaya mencatat nama dalam Guinness World Records menerusi himpunan persatuan etnik terbanyak.
Kejayaan meraih pengiktirafan bagi rekod Most Ethnic Associations Gathered in a Cultural Celebrationitu sekali gus mengangkat Sarawak sebagai contoh perpaduan dalam kepelbagaian budaya pada peringkat antarabangsa.
Karnival tersebut menghimpunkan lebih 30 persatuan etnik dan budaya dari seluruh Sarawak, selain penyertaan komuniti dari Sabah, Brunei, Indonesia dan Yunnan, China.
Sepanjang acara berlangsung, pengunjung berpeluang mengenali dan menghayati keunikan masyarakat Borneo serta rantau sekitarnya menerusi pelbagai persembahan kebudayaan, tarian tradisional, pameran warisan dan juadah tempatan.
Majlis perasmian karnival berkenaan telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Program mega itu turut mendapat kerjasama daripada Sarawak Chinese Association, Majlis Bandaraya Miri (MBM), pelbagai pertubuhan budaya serta barisan sukarelawan yang memainkan peranan penting menjayakannya.

Pencapaian rekod dunia itu dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam mempromosikan warisan seni pelbagai kaum, di samping memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf antarabangsa.




