KOTA KINABALU – Kerajaan Persekutuan Negeri akan meneliti perkara yang disuarakan kedua-dua kumpulan dalam perhimpunan iaitu Suara Mahasiswa dan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) yang berlangsung di sekitar Kota Kinabalu, petang tadi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau mengambil maklum mengenai perhimpunan tersebut yang turut disertai mahasiswa.
“Saya berpendapat yang penting ialah kita mendengar kedua-dua belah pihak. Kerajaan Pusat dan Negeri akan cuba meneliti segala yang disuarakan, khususnya oleh golongan anak muda untuk dipertimbangkan sewajarnya.
“Namun, saya berharap agar tidak berlaku lagi sebarang insiden yang tidak diingini susulan perhimpunan ini, lebih-lebih lagi dengan makluman satu lagi perhimpunan dijangka berlangsung esok,” ujarnya kepada media selepas lawatannya ke atas mangsa kebakaran di Kampung Kalansanan, pada Sabtu.
Selain itu, Mustapha turut menyeru agar peserta himpunan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa serta menyuarakan pandangan dengan mengekalkan budaya Sabah yang harmoni.
Dalam pada itu, mengenai lawatan berkenaan, Mustapha berkata, pihaknya telah mendapat maklumat daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam mengenal pasti 14 Ketua Isi Rumah yang terjejas kebakaran.
“Ini bagi mengenal pasti jumlah mangsa sebenar dan bentuk bantuan yang perlu disalurkan seperti biasa.
“Bagi pihak Parlimen, bantuan akan disegerakan kepada kesemua 14 KIR terlibat bagi membolehkan mangsa memulakan pembelian barangan keperluan khususnya yang melibatkan keluarga dan anak-anak yang masih belum bersekolah,” kongsinya.
Menurut Mustapha, kesemua mangsa kebakaran akan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara dan agensi-agensi terlibat sedang berusaha mencari kaedah terbaik bagi membantu mereka.
Beliau turut menasihati agar seluruh penduduk di kawasan Sepanggar lebih berhati-hati terutama melibatkan penggunaan dapur memandangkan punca kebakaran dipercayai bermula dari ruangan terbabit.
Sindiket tipu warga emas guna tawaran bantuan kebajikan tumpas, tiga beranak ditahan
IPOH – Taktik licik satu sindiket penipuan yang menyasarkan warga emas dengan menyamar sebagai petugas kebajikan akhirnya tumpas apabila tiga sekeluarga diberkas polis dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Semenyih,…
Lebih lanjut



