
KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkukuh usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa kerja dan kumpulan teknikal khas yang menghimpunkan pelbagai kementerian, agensi penguat kuasa serta pemain industri digital bagi menyelaras tindakan secara lebih bersepadu.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa berkenaan ditubuhkan susulan sesi pemukiman yang diadakan pada 18 Jun lalu bagi merangka pendekatan lebih menyeluruh dalam menangani peningkatan kes penipuan dalam talian.
Beliau berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan dalam masa terdekat dengan penglibatan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan, selain buat pertama kalinya melibatkan sektor perbankan, telekomunikasi serta platform media sosial.
“Ini melibatkan pelbagai kementerian, agensi, jabatan malah buat pertama kalinya sektor perbankan, sektor telekomunikasi serta platform-platform utama termasuk media sosial akan turut dilibatkan,” katanya pada Sidang Media Mingguan, Angkasapuri, pada Rabu.
Menurut Fahmi, kerjasama rentas agensi dan sektor itu dijangka memperkukuh usaha kerajaan membanteras jenayah penipuan dalam talian menerusi penyelarasan yang lebih berkesan dari aspek penguatkuasaan, perundangan dan siasatan.
Beliau berkata, langkah tersebut juga bertujuan memastikan pengguna platform digital di negara ini mendapat perlindungan yang lebih menyeluruh ketika menjalankan urusan dalam talian.
“Ini adalah satu langkah proaktif di pihak kerajaan untuk mengenal pasti isu-isu yang dihadapi dan menguruskan sama ada dari segi penguatkuasaan, perundangan dan juga siasatan supaya rakyat Malaysia akan dapat lebih selamat bila menggunakan platform-platform digital,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan optimis beberapa hasil positif dapat dicapai dalam tempoh terdekat menerusi pelaksanaan jawatankuasa berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak dapat mendedahkan secara terperinci strategi yang sedang dirangka kerana bimbang maklumat tersebut dimanfaatkan oleh pihak yang terlibat dalam kegiatan penipuan.
“Ya, kita jangkakan dalam masa yang tak terlalu lama, beberapa perkara akan dapat diuruskan. Saya tak boleh cakap terlalu terbuka kerana yang sedang menonton ini juga mungkin di kalangan scammer,” katanya.
Fahmi berkata, pendekatan penyelarasan merentas agensi itu bukan sesuatu yang baharu kerana kaedah sama pernah dilaksanakan dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan terbukti berkesan menerusi beberapa operasi khas.
Sehubungan itu, beliau yakin penubuhan jawatankuasa kerja berkenaan mampu mempercepatkan tindakan terhadap sindiket penipuan dalam talian.
“Jadi kita jangka dengan adanya jawatankuasa kerja ini, tindakan yang lebih tegas, lebih pantas dan lebih tuntas dapat diambil terhadap scammer,” katanya.



