MEMALUKAN….Tindakan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, yang menolak cadangan untuk berdebat dengan calon Pakatan Harapan, Dr. Maszlee Malik, menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, khususnya pengundi muda.
Bagi kelompok ini, seorang pemimpin bukan sahaja perlu memiliki rekod pentadbiran yang baik, malah perlu berani mempertahankan dasar dan pendiriannya secara terbuka.
Pada era politik moden, rakyat semakin dahagakan ruang untuk menilai sendiri keupayaan pemimpin.
Debat merupakan antara platform terbaik untuk membolehkan calon menjelaskan visi, dasar serta menjawab persoalan yang menjadi perhatian rakyat. Ia bukan sekadar pertandingan retorik, tetapi medan menguji ilmu, keyakinan dan kemampuan berhujah.
Jika alasan bahawa debat bukan budaya politik negara terus digunakan, maka alasan tersebut wajar dinilai semula dan lapuk.
Malaysia mempunyai tradisi debat yang panjang. Pertandingan seperti Piala Perdana Debat yang menghimpunkan sekolah-sekolah berasrama penuh telah lama menjadi medan melahirkan pemidato dan pemimpin masa depan.
Malah Sekolah Tun Fatimah (STF) Johor antara sekolah berprestasi tinggi negara, terkenal dengan kecemerlangan dalam bidang pidato dan perbahasan.
Justeru, mengapa apabila tiba di pentas politik, budaya berhujah secara terbuka dianggap tidak sesuai? Bukankah pemimpin yang bakal memimpin negeri atau negara sepatutnya menunjukkan keberanian mempertahankan idea di hadapan rakyat?
Di negara-negara demokrasi seperti Amerika Syarikat, debat antara calon merupakan acara yang dinanti-nantikan.
Melalui debat, rakyat dapat membandingkan idea, dasar dan kemampuan setiap calon sebelum membuat keputusan di peti undi.
Walaupun sistem politik Malaysia berbeza, semangat keterbukaan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat seharusnya terus diperkasakan.
Sebagai seorang pemimpin, Onn Hafiz mempunyai peluang terbaik untuk menjadikan pentas debat sebagai medan membentangkan pencapaian pentadbirannya. Beliau juga boleh menjawab secara langsung pelbagai persoalan yang sering dibangkitkan, termasuk mengenai dasar, manifesto serta hala tuju Johor pada masa hadapan.
Sebelum ini, Onn Hafiz pernah mencabar Pakatan Harapan supaya menampilkan tokoh yang layak memimpin Johor. Apabila PH menamakan Dr. Maszlee Malik sebagai calon Menteri Besar, sebahagian rakyat menjangkakan pertembungan idea melalui debat akan menjadi kenyataan.
Namun apabila debat tidak menjadi kenyataan, timbul persoalan dalam kalangan pengundi mengenai kesediaan pemimpin untuk berhadapan secara terbuka.
Hakikatnya, politik hari ini telah berubah. Pengundi, khususnya generasi muda, lebih kritikal dan mempunyai akses kepada pelbagai sumber maklumat.
Mereka bukan sekadar mahu mendengar ucapan di pentas atau membaca kenyataan di media sosial, sebaliknya ingin melihat sendiri bagaimana seseorang pemimpin berhujah, menjawab soalan sukar dan mempertahankan dasar yang dibawa.
Budaya debat tidak sepatutnya dianggap sebagai ancaman kepada keharmonian.
Sebaliknya, jika dikendalikan secara berhemah dan profesional, ia mampu meningkatkan kematangan demokrasi serta membantu rakyat membuat pilihan yang lebih tepat.
Pada masa hadapan, sudah tiba masanya pemimpin politik Malaysia menjadikan debat sebagai satu amalan biasa dalam demokrasi.
Pemimpin yang benar-benar yakin dengan kemampuan dan pencapaiannya tidak perlu gentar untuk berhadapan dengan lawan politik secara terbuka.
Sebagai penutup, persoalan yang sama boleh diajukan kepada pemimpin-pemimpin lain di negara ini.
Penulis ingin bertanya mampukah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berdebat secara terbuka dengan pemimpin PH sekiranya dicabar menjelang pilihan raya akan datang?
Penulis yakin seandainya Sanusi bersetuju untuk berdebat pasti akan mendapat sambutan yang luar biasa apatah lagi seorang pemimpin yang berstatus “The Greater Kedah” dan bak kata orang Kedah pemimpin anak jantan.
Rakyat pastinya ingin melihat pertembungan idea dan hujah, bukannya sekadar perang kenyataan di media sosial.
Dalam sebuah demokrasi yang matang, biarlah idea bersaing dengan idea, dan biarlah rakyat sendiri menjadi hakimnya.






