
PEMBANGKANG yang mengkritik kerajaan berhubung cadangan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu mengemukakan idea serta dasar alternatif yang bernas, bukannya sekadar mendesak tanpa menawarkan penyelesaian, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali.
Beliau berkata, pembangkang mempunyai tanggungjawab sebagai institusi semak dan imbang untuk memastikan kelemahan kerajaan ditegur serta diperbetulkan menerusi kritikan membina, hujah berasaskan fakta dan cadangan yang munasabah.
Katanya, peranan itu perlu dilaksanakan secara serius kerana pembangkang turut menerima peruntukan bagi menjalankan tanggungjawab mereka dalam sistem demokrasi.
“Kalau mereka mahu mengkritik kerajaan, kritikan itu mesti membina. Mereka perlu membawa idea yang bernas dan produktif untuk menambah baik pentadbiran kerajaan.
“Kalau sekadar mengkritik tanpa mengemukakan idea, peranan pembangkang itu tidak berkesan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Selasa.
Mengulas peranan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, beliau berkata, pemimpin pembangkang perlu lebih prolifik dalam mengemukakan idea, hujah dan cadangan dasar yang boleh dinilai serta dipertimbangkan oleh rakyat.
Tambahnya, pembangkang perlu mengemukakan cadangan konkrit, termasuk menerusi belanjawan alternatif, bagi membolehkan rakyat menilai pendekatan yang ditawarkan berbanding dasar kerajaan.
Mengulas gesaan pembangkang supaya kerajaan melaksanakan semula GST, Mazlan berkata, cadangan itu boleh dipertimbangkan, namun tidak seharusnya disertai desakan tanpa kajian menyeluruh mengenai kaedah pelaksanaannya.
Beliau berkata, pembangkang perlu mengemukakan cadangan terperinci mengenai cara GST boleh dilaksanakan dengan lebih baik, termasuk mengatasi kelemahan yang timbul ketika sistem itu diperkenalkan sebelum ini.
Antara masalah yang perlu diberi perhatian ialah tuntutan semula cukai input oleh peniaga dan kelewatan pembayaran balik, yang boleh menimbulkan kesulitan kepada sektor perniagaan.
“Kalau pembangkang mahu kerajaan melaksanakan GST, mereka perlu mengemukakan idea supaya pelaksanaannya tidak menimbulkan masalah atau memberi kesan kepada rakyat.
“Perlu ada kajian menyeluruh kerana pelaksanaan terdahulu mempunyai beberapa kelemahan teknikal yang perlu diambil iktibar,” katanya.
Beliau berkata, pembangkang perlu mengemukakan penyelesaian praktikal setiap kali mengkritik sesuatu dasar, termasuk menjelaskan kaedah pelaksanaan serta kesannya kepada rakyat.
Ujarnya, rakyat juga berupaya menilai sama ada kritikan yang dikemukakan berasaskan fakta dan pertimbangan objektif atau sekadar sentimen politik.
“Jadi, pembangkang kena faham tugas mereka sebagai institusi semak dan imbang. Jika mengkritik sesuatu dasar, mereka perlu membawa hujah, fakta dan cadangan alternatif tentang bagaimana masalah itu boleh diselesaikan.
“Kalau mahu kerajaan melaksanakan GST, kemukakan idea supaya pelaksanaannya tidak menimbulkan masalah atau memberi kesan kepada rakyat. Itu tanggungjawab pembangkang,” katanya.
Semalam, Ketua Pembangkang, Hamzah ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat menggesa kerajaan melaksanakan semula GST pada kadar munasabah, selain memperjelas hala tuju sistem percukaian negara.
Beliau turut mempersoalkan pendekatan kerajaan yang mahu menerapkan elemen GST dalam Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sambil menegaskan sistem percukaian yang lebih jelas diperlukan bagi membantu sektor perniagaan merancang kos dan pelaburan.



