
KOTA KINABALU – Penganjuran The Big Sabah Car Show 2026 berpotensi menjadi antara acara pelancongan utama Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah 2027 (Visit Sabah 2027), sekali gus merancakkan ekonomi tempatan.
CULT Event Management (CULT Malaysia) dalam kenyataan memaklumkan, penganjuran itu akan menampilkan dua program utama, iaitu Borneo 4×4 Outdoor Show 2026 pada 31 Oktober, diikuti CULT Car Culture Festival 2026 pada 1 November.
“Program selama dua hari di SICC itu dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung, sekali gus berpotensi memberikan limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman serta perniagaan tempatan.
“Selain pameran kenderaan dan aktiviti gaya hidup automotif, pihak penganjur turut mengetengahkan cadangan Kempen Pelekat Kenderaan Visit Sabah 2027 sebagai salah satu inisiatif promosi pelancongan yang melibatkan penyertaan komuniti permotoran, ” menurut CULT Malaysia, pada Rabu.
Difahamkan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin bersama Pembantu Menteri, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal menyambut baik penganjuran program itu.
Sokongan berkenaan dizahirkan ketika menerima kunjungan hormat delegasi CULT Malaysia bersama wakil Breeze Magazine bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh promosi pelancongan Sabah menerusi penganjuran acara automotif, gaya hidup dan penglibatan komuniti.
Menurut CULT Malaysia, Jafry turut bersetuju memberikan sokongan terhadap penganjuran CULT dan usaha menjadikan acara berkenaan sebahagian daripada program pelancongan negeri melalui penyertaannya dalam Kalendar Acara Pelancongan Sabah.
“Langkah itu dilihat mampu memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya, malah turut menawarkan acara bertaraf besar dalam sektor automotif, gaya hidup dan pelancongan bandar.
“Dr Andi turut menyambut baik inisiatif berkenaan, khususnya potensi penglibatan komuniti automotif, golongan belia serta pemain industri tempatan dalam menyokong aspirasi Tahun Melawat Sabah 2027 (Visit Sabah 2027),” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Breeze Magazine turut menyatakan komitmen membantu mempromosikan penganjuran CULT serta memperluaskan publisiti pelancongan Sabah melalui penerbitan majalah, liputan editorial, fotografi, platform digital dan rangkaian media.
“Kerjasama itu diharap dapat mengetengahkan destinasi menarik, kepelbagaian budaya, produk pelancongan serta aktiviti gaya hidup Sabah kepada pembaca dan khalayak yang lebih luas.
“Penglibatan Breeze Magazine juga dijangka membantu menghubungkan penganjuran acara tempatan dengan promosi destinasi pelancongan, sekali gus memberikan nilai tambah kepada kempen Visit Sabah 2027,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Program CULT, Azlin Awang Chee, menyifatkan sambutan positif daripada kepimpinan kementerian sebagai perkembangan penting dalam usaha memperkukuh kedudukan CULT sebagai acara tahunan yang berpotensi menarik pengunjung dari Semenanjung Malaysia, Sarawak, Brunei dan negara jiran.
“Penganjuran acara seumpama ini bukan sahaja menghimpunkan peminat dan komuniti automotif, tetapi juga mampu menyumbang kepada pembangunan pelancongan berasaskan acara (event tourism) serta membuka peluang kerjasama antara sektor swasta, industri kreatif dan agensi pelancongan,” katanya dalam kenyataan sama.




