HBH disambut baik, uji kecekapan perkhidmatan awam

KOTA KINABALU – Pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH) sebagai norma baharu dalam Perkhidmatan Awam mulai 1 Ogos depan disambut baik oleh orang awam yang melihat langkah itu mampu meningkatkan fleksibiliti kerja, menjimatkan kos operasi dan menyokong agenda kelestarian.

Namun, sebahagian tinjauan awam yang dijalankan mereka berpadangan kejayaan program tersebut bergantung kepada tahap integriti penjawat awam serta kualiti penyampaian perkhidmatan.

Pekerja sendiri dari Kota Kinabalu, Salbinous Saribun, 40, berkata, pelaksanaan kerja hibrid bukanlah sesuatu yang asing kerana keberkesanannya telah dibuktikan ketika pandemik COVID-19 dan ketika pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) semasa konflik geopolitik Asia Barat.

“Banyak negara maju seperti Finland, Kanada, Belanda, New Zealand dan Australia telah lama mengamalkan sistem kerja hibrid sebagai sebahagian daripada budaya kerja moden.

“Apa yang paling penting bukan lokasi seseorang bekerja, tetapi integriti dan komitmen dalam melaksanakan amanah, jika tugas dapat diselesaikan dengan baik, sistem ini memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada penjawat awam, malah kepada kerajaan dan negara,” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press pada Sabtu

Menurutnya, HBH boleh membantu kerajaan mengurangkan kos utiliti pejabat dan penggunaan bahan api, selain itu pelepasan gas karbon juga dapat dikurangkan dan pada masa sama kesesakan lalu lintas juga berpotensi dikurangkan.

Sementara itu, pekerja swasta dari Kota Kinabalu, Zaki Abu Bakar, 48, berkata, walaupun dasar itu disambut baik oleh penjawat awam, namun beliau mengakui masih terdapat segelintir masyarakat yang memandangnya dengan rasa skeptikal.

Persepsi itu, katanya, hanya dapat diubah sekiranya penjawat awam mampu membuktikan sistem kerja hibrid ini bukan sahaja tidak menjejaskan perkhidmatan, tetapi turut meningkatkan kecekapan penyampaian kepada rakyat.

“Penjawat awam perlu membuktikan bahawa dasar ini benar-benar memberi nilai tambah kepada perkhidmatan kerajaan, jika penyampaian perkhidmatan menjadi lebih pantas, cekap dan responsif, rakyat sendiri akan melihat bahawa pendekatan ini adalah langkah yang tepat.

“Pada masa sama, ia menunjukkan penjawat awam mampu memanfaatkan teknologi digital secara optimum dalam melaksanakan tugas,” kongsinya.

Dalam pada itu, seorang penjawat awam, Ahmad Hafiz Azizan, 41, berkata, pelaksanaan HBH perlu mengambil kira kesesuaian fungsi setiap jabatan kerana terdapat tugasan yang masih memerlukan kehadiran fizikal di pejabat.

Beliau yang bertugas dalam bahagian perolehan berkata urusan melibatkan dokumen terperingkat, proses perolehan serta tugasan yang mengejar tarikh akhir memerlukan penyelia dan kakitangan berada di pejabat bagi memastikan semua proses berjalan lancar.

Bagi unit seperti perolehan, katanya, kehadiran di pejabat masih penting kerana banyak menguruskan dokumen terperingkat dan urusan yang mempunyai tempoh masa ketat.

“Pada masa sama, kerajaan juga perlu memastikan kaunter perkhidmatan dan khidmat pelanggan sentiasa beroperasi dengan baik supaya rakyat tidak berdepan masalah mendapatkan perkhidmatan.

“Namun dari sudut penjimatan tenaga elektrik dan pengurangan kesesakan lalu lintas, saya melihat sistem ini mempunyai kelebihannya jika dilaksanakan mengikut kesesuaian tugas,” katanya.

Sementara itu, Arlina Limat, 50, yang telah berkhidmat hampir 30 tahun sebagai penjawat awam berkata, pelaksanaan hari bekerja hibrid mampu memberi manfaat kepada pekerja kerana menawarkan fleksibiliti, mengurangkan kos perjalanan harian serta membantu mewujudkan keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya.

“Pada pandangan saya, sistem bekerja secara hibrid mempunyai banyak kelebihan jika dilaksanakan dengan baik.

“Ia bukan sahaja memberi fleksibiliti kepada pekerja, tetapi turut membantu mengurangkan kos pengangkutan dan memberi ruang untuk mengimbangi tuntutan kerja serta kehidupan seharian,” kongsinya.

Namun, jelasnya, kejayaan pelaksanaannya amat bergantung kepada disiplin, integriti dan komitmen setiap individu dalam memastikan tugasan disiapkan mengikut sasaran.

Tambah Arlina, dari sudut pengurusan organisasi, model kerja hibrid tetap mempunyai cabaran terutama dalam aspek pemantauan prestasi, penyelarasan tugasan, komunikasi antara kakitangan serta urusan yang melibatkan dokumen fizikal dan kelulusan segera yang memerlukan kehadiran di pejabat.

“Justeru, pelaksanaan sistem ini perlu disokong dengan penilaian berasaskan prestasi dan hasil kerja, selain komunikasi yang lebih berkesan antara pengurusan dan kakitangan.

“Jika aspek itu diberi perhatian, saya percaya sistem kerja hibrid mampu meningkatkan produktiviti tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Pada Jumaat, Jemaah Menteri mengumumkan pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH) sebagai norma baharu dalam Perkhidmatan Awam berkuat kuasa 1 Ogos 2026.

Melalui pelaksanaan itu, penjawat awam dibenarkan bekerja dua hari dari rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan dan tiga hari di pejabat, tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Related Posts

Rakyat mahu Anwar terus terajui negara, kekal jadi PM selepas PRU16

PORT DICKSON – Keprihatinan kerajaan menerusi pelbagai inisiatif kebajikan, termasuk Sumbangan Rahmah MADANI, mendorong sebahagian rakyat menyuarakan harapan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus diberi mandat memimpin negara…

Lebih lanjut

teruskan membaca
DAPSY perjelas isu Pelabuhan Bintulu, hargai usaha keras kerajaan Sarawak

KUCHING – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak tampil menjelaskan pendirian berhubung isu pengambilalihan Pelabuhan Bintulu dengan menzahirkan penghargaan penuh terhadap komitmen kerajaan Sarawak. Mengulas kenyataan Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rakyat mahu Anwar terus terajui negara, kekal jadi PM selepas PRU16

Rakyat mahu Anwar terus terajui negara, kekal jadi PM selepas PRU16

DAPSY perjelas isu Pelabuhan Bintulu, hargai usaha keras kerajaan Sarawak

DAPSY perjelas isu Pelabuhan Bintulu, hargai usaha keras kerajaan Sarawak

Dua penambahbaikan subsidi diesel diumum, 4,146 stesen minyak sedia laksana BUDI MADANI

Dua penambahbaikan subsidi diesel diumum, 4,146 stesen minyak sedia laksana BUDI MADANI

HBH disambut baik, uji kecekapan perkhidmatan awam

HBH disambut baik, uji kecekapan perkhidmatan awam

Alpha Gen Talents platform cungkil bakat, perkasa pendidikan awal kanak-kanak

Alpha Gen Talents platform cungkil bakat, perkasa pendidikan awal kanak-kanak

Sabah perhebat persiapan Tahun Melawat 2027, sasar peningkatan pelancong global

Sabah perhebat persiapan Tahun Melawat 2027, sasar peningkatan  pelancong global