PORT DICKSON – Kerajaan MADANI bukan sekadar melaksanakan dasar dan inisiatif pembangunan, sebaliknya memastikan setiap program yang dilaksanakan benar-benar menyantuni rakyat serta memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil berkata, pendekatan itu diterjemahkan menerusi penganjuran Program MADANI KITA (PMK) 2026 yang membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan terus kepada komuniti.
Beliau berkata, program berkenaan memberi peluang kepada penduduk mendapatkan maklumat tepat mengenai dasar kerajaan, selain berurusan secara terus dengan pelbagai jabatan dan agensi selain memberi peluang kepada agensi mendekati komuniti bagi memahami isu dan permasalahan setempat, sekali gus memudahkan rakyat mendapatkan penjelasan berhubung pelbagai inisiatif yang disediakan.
“Program berskala besar seperti di Dewan Serbaguna Kampung Sawah, Chuah, Port Dickson. Melalui platform ini, warga Chuah dan Port Dickson berpeluang menikmati pelbagai kaunter perkhidmatan agensi kerajaan, pameran interaktif, serta penerangan telus mengenai inisiatif kos sara hidup. Ini membuktikan usaha proaktif kementerian membawa dasar negara “Memaknai Harapan Rakyat” ke peringkat akar umbi.
“Kerajaan juga mahu mendasari isu mahupun permasalahan setempat dalam masa yang sama hadir mendekati komuniti agar komuniti mendapat maklumat yang jelas, memahami maklumat yang disampaikan dan akses mudah mendapatkan penerangan informasi yang tepat dan sahih,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Bahria turut memuji semangat perpaduan masyarakat di Chuah yang disifatkan sebagai contoh terbaik keharmonian apabila program itu berjaya menghimpunkan penduduk daripada pelbagai kaum.
“Walaupun Chuah, sebuah pekan kecil di Port Dickson, kecil dalam daerah, namun komuniti di sini, besar cintanya kepada perpaduan. Ini sesuatu yang luar biasa.
“Ianya terbukti, pada petang ini, dapat saya lihat sendiri, betapa ramainya komuniti setempat yang hadir daripada berbilang kaum; Melayu, Cina, India dan juga kaum-kaum yang lain serta tidak dilupakan aset terpenting negara adalah anak-anak muda yang turut sama hadir memeriahkan program pada petang ini.
“Melihat kemeriahan komunitinya, sambutan, semangatnya, tempatnya, saya ucap terima kasih dan tahniah atas usaha dikelola Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dengan kerjasama kerajaan negeri, jabatan, agensi kerajaan, NGO setempat dan pemimpin-pemimpin masyarakat yang turut bersama menjayakan program MADANI Kita,” katanya.
Dalam pada itu, Bahria menyeru orang ramai, khususnya golongan belia, memanfaatkan peluang bertemu wakil jabatan dan agensi kerajaan bagi mendapatkan penerangan mengenai pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.
“Dapatkan penerangan perkhidmatan yang diperlukan, beri pandangan, cadangan agar perkhidmatan Kerajaan dapat diperkasa. Tinjau dan dengar sendiri, apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI,” katanya.







