
PAPAR – Mahkamah Koroner pada Khamis diberitahu pakar tulisan tangan dan pemeriksa dokumen forensik, ChM Dr Linthini Gannetion, tidak dapat membuat kesimpulan muktamad bahawa sebahagian catatan yang dipertikaikan bukan ditulis oleh Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir kerana kekurangan sampel tulisan perbandingan yang mencukupi.
Dalam satu ringkasan harian prosiding inkues yang dikeluarkan oleh pasukan guaman ibu allahyarham Zara Qairina, Noridah Lamat pada Khamis, saksi ke-74 itu menjelaskan, pemeriksaan beliau melibatkan dokumen yang ditandakan sebagai W1, W2, W3, Y1 hingga Y15 dan buku WK9, selain menggunakan sampel tulisan tangan sebagai bahan perbandingan.
Menurut beliau, dalam pemeriksaan tulisan tangan, dokumen yang dipertikaikan perlu dibandingkan dengan dokumen contoh yang diketahui penulisnya sebelum sesuatu kesimpulan boleh dibuat.
Katanya, bagi catatan Y1A hingga Y10A, terdapat beberapa ciri yang menimbulkan persoalan termasuk bentuk huruf, corak tarikh dan tabiat tulisan.
Namun, faktor itu sahaja tidak mencukupi untuk membolehkan beliau membuat kesimpulan bahawa helaian berkenaan bukan ditulis oleh Allahyarhamah atau ditulis individu lain.
Tambah kenyataan itu lagi, Linthini turut menjelaskan istilah “no conclusion” dalam laporannya tidak bermaksud sesuatu dokumen disahkan bukan tulisan Allahyarhamah.
Sebaliknya menunjukkan bukti perbandingan yang ada tidak mencukupi untuk membuat pengesahan secara selamat.
Beliau juga menegaskan laporan itu bukan dapatan bahawa helaian Y1 hingga Y15 adalah palsu atau dipalsukan, selain tidak mengenal pasti mana-mana individu lain sebagai penulis dokumen berkenaan.
Dalam keterangannya, saksi berkata tulisan pada dokumen W1 menunjukkan persamaan ketara dengan tulisan Allahyarhamah bagi tempoh hujung April hingga Julai 2025.
Bagi dokumen W2 pula, sebahagian besar tulisan dikenal pasti sebagai tulisan Allahyarhamah, namun terdapat beberapa halaman yang mengandungi tulisan individu lain.
Sementara itu, jelasnya, dokumen W3 didapati mengandungi lebih daripada satu corak tulisan tangan.
Walaupun sebahagian halaman tidak dapat diputuskan secara muktamad, halaman W3_90 hingga W3_103 menunjukkan persamaan ketara dengan tulisan Allahyarhamah.
Linthini turut berkata, tulisan pada helaian Y10B serta Y11 hingga Y15 menunjukkan persamaan ketara dengan tulisan Allahyarhamah bagi tempoh Februari hingga pertengahan April 2025, justeru beliau berpendapat helaian tersebut adalah tulisan Allahyarhamah.
Mengenai pemeriksaan dokumen forensik, Linthini mengesahkan helaian Y1 hingga Y15 berasal daripada buku berkulit hijau bertajuk Love and Peace (WK9).
Bagaimanapun, kongsinya, buku rujukan sejenis mempunyai 228 halaman bergaris, sedangkan WK9 hanya mempunyai 106 halaman yang masih tinggal, menunjukkan sejumlah besar halaman telah dikeluarkan.
Dalam pada itu, Linthini menemui petunjuk fizikal seperti kesan koyakan yang tidak seragam, lekukan tulisan serta perubahan pada beberapa bahagian dokumen termasuk Y10B, Y4B dan Y13A.
Namun, beliau menegaskan perubahan itu tidak boleh disifatkan sebagai “unauthorised alteration” kerana identiti pihak yang melakukan perubahan tidak dapat dipastikan.
Linthini berkata, unsur gangguan atau pengubahan terhadap helaian Y1 hingga Y15 juga tidak boleh diputuskan secara muktamad, malah laporan beliau tidak menentukan bila, bagaimana atau oleh siapa perubahan itu dilakukan.
Saksi menjelaskan pemeriksaan dokumen forensik dan pemeriksaan tulisan tangan merupakan dua disiplin berbeza, dengan pemeriksaan dokumen menilai keadaan fizikal seperti kertas, koyakan, dakwat dan asal-usul dokumen, manakala pemeriksaan tulisan tangan menentukan kepengarangan sesuatu tulisan.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa catatan berkaitan keadaan emosi Allahyarhamah tidak dinilai dari sudut psikologi kerana skop pemeriksaannya hanya tertumpu kepada analisis tulisan tangan dan dokumen.
Prosiding inkues akan disambung semula pada 26 Jun 2026 dengan keterangan saksi pakar psikiatri, Dr Wong Haw Huo.






