
KUALA LUMPUR – Ukuran kejayaan Kerajaan dalam menangani kos sara hidup perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada penurunan harga makanan, sewa rumah dan kos perkhidmatan sahaja.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan hal ini kerana harga barangan dan perkhidmatan dipengaruhi oleh pasaran yang meliputi pelbagai faktor luaran dan dalaman antaranya keadaan ekonomi global, situasi geopolitik, kadar pertukaran mata wang, perubahan iklim serta gangguan rantaian bekalan.
“Dalam konteks ini, beberapa indikator sosioekonomi digunakan di seluruh dunia sebagai asas dan petunjuk dalam melihat keadaan semasa kos sara hidup rakyat. Antaranya, indeks kos sara hidup, kadar inflasi dan pendapatan isi rumah.
“Bagi Malaysia, Indeks Kos Sara Hidup mencatatkan kadar 1.9 peratus pada tahun 2024, lebih rendah berbanding 3.1 peratus pada tahun 2023. Selain itu, kadar inflasi negara berada dalam trend pergerakan mereda iaitu 1.4 peritus pada tahun 2025, berbanding 1.8 peratus tahun 2024, 2.5 peratus bagi 2023 dan 3.3 peritus tahun 2022.
“Pendapatan isi rumah kekal mencatatkan peningkatan iaitu pendapatan boleh guna purata isi rumah meningkat kepada RM7,584
pada tahun 2024 berbanding RM7,111 pada tahun 2022. Peningkatan ini menunjukkan bahawa pendapatan isi rumah terus berkembang dan membantu mengukuhkan keupayaan rakyat dalam menampung keperluan harian mereka,” menurut KPDN dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada soalan Mohd Sany Hamzan (Pakatan Harapan-Hulu Langat) berkenaan usaha Kerajaan menangani kos sara hidup.
KPDN turut menyatakan bahawa kesejahteraan rakyat juga dilihat melalui pelaksanaan pelbagai program bantuan bersasar, inisiatif penstabilan harga, penguatkuasaan secara berterusan serta intervensi pasaran dalam memastikan rakyat menerima manfaat secara langsung terutama golongan B40 dan M40.
“Antara program tersebut adalah seperti Sumbangan Tunai RAHMAH (STR) dan Sumbangan Asas RAHMAH (SARA), Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Pas Bulanan My50, Program Residensi Rakyat (PRR), Program Rebat Bil Elektrik RM40 dan Program NUR@PETRA.
“Seterusnya, Kerajaan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) juga turut memainkan peranan penting secara proaktif sebagai platform penyelarasan strategik merentasi kementerian dan agensi dalam menggubal dasar, merangka strategi serta merancang pelan tindakan bagi menangani cabaran peningkatan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh.
“Strategi pengurusan kos sara hidup turut diperkukuh dengan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2026-2030 (NCLAP30) yang akan dilancarkan dalam tempoh suku tahun ketiga 2026. Pelan ini akan meneliti aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan inisiatif kos sara hidup secara lebih bersepadu, berfokus dan selari dengan keperluan sebenar rakyat,” jelas kementerian itu.
Di samping itu, Kerajaan juga mengambil langkah yang responsif dan bersesuaian dalam menangani impak yang muncul daripada sebarang krisis, bencana atau kejutan ekonomi yang tidak dijangka yang mendatangkan risiko kepada kenaikan tinggi kos sara hidup.







