KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa isu kewangan negara dan peningkatan hutang gagal ditangani secara berkesan adalah tidak benar, sebaliknya reformasi ekonomi dan fiskal berjalan secara berperingkat tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat dan momentum pertumbuhan ekonomi.
Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 atau FRA, paras hutang kekal dalam had berkanun serta pinjaman baharu pula digunakan bagi tujuan pembangunan dan memberi manfaat kepada ekonomi negara.
“Komitmen ini juga perlu dilaporkan dan dipertanggungjawabkan kepada Parlimen, selaras dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti fiskal.
“Hasilnya, defisit fiskal Kerajaan Persekutuan telah mengecil selama empat tahun berturut-turut, iaitu daripada 6.4 peratus kepada KDNK (Kumpulan Dalam Negara Kasar) pada 2021 kepada 5.5 peratus pada 2022, 5.0 peratus pada 2023, 4.1 peratus pada 2024, dan 3. 7 peratus pada 2025.
“Ini menunjukkan bahawa pelan pembaharuan ekonomi dan fiskal Kerajaan bukan sekadar pengumuman, tetapi sedang diterjemahkan melalui pengurangan defisit secara konsisten,” jelas MoF dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) pada Rabu.
Fawwaz bertanya mengenai isu kewangan negara dan peningkatan hutang yang gagal ditangani secara berkesan.
Tambah MoF lagi, pertumbuhan hutang baharu juga semakin berkurang selaras dengan usaha konsolidasi fiskal iaitu menurun daripada RM100 bilion pada 2021 dan 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023.
Seterusnya ia turut menguncup kepada RM77 bilion pada 2024 dan RM75.6 bilion pada 2025.
“Ini membuktikan bahawa kerajaan sedang mengawal keperluan pembiayaan baharu secara lebih berhemat.
“Kadar pertumbuhan hutang Kerajaan Persekutuan telah menunjukkan trend penurunan yang konsisten. Sebagai
rekod, pertumbuhan hutang tahunan telah berjaya dikurangkan daripada 11.4 peratus pada tahun 2021 kepada 10.2 peratus pada tahun 2022, 8.6 peratus pada tahun 2023, 6.4 peratus pada tahun 2024 dan seterusnya 5.9 peratus pada tahun 2025.
“Bagi tahun 2026, kerajaan komited untuk terus memastikan kadar pertumbuhan hutang mencatatkan paras yang lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Pada masa sama, Malaysia masih menerima penarafan kredit antarabangsa yang baik pada gred pelaburan iaitu A- oleh S&P, A3 oleh Moody’s dan BBB+ oleh Fitch, dengan prospek yang stabil. Penarafan ini mencerminkan keyakinan agensi penarafan antarabangsa terhadap pengurusan ekonomi dan fiskal negara,” jelas kenyataan itu lagi.
Tambah MOF lagi, setakat akhir Mac 2026, kerajaan kekal patuh kepada semua had statutori hutang di paras 61.9 peratus kepada KDNK, masih di bawah had 65 peratus, pinjaman luar pesisir berjumlah RM20.8 bilion, jauh di bawah siling RM35 bilion; manakala Bil Perbendaharaan Malaysia berjumlah RM4.5 bilion, kekal di bawah had RM10 bilion.
“Kerajaan juga tidak pernah gagal memenuhi obligasi bayaran faedah mahupun bayaran balik hutang yang matang.
“Ini mencerminkan kedudukan hutang negara yang masih terurus, disokong oleh pasaran kewangan domestik yang mendalam, profil hutang yang stabil dan pengurusan fiskal yang berdisiplin.
“Malah, ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, kadar inflasi kekal rendah pada paras 2.0 peratus bagi Mei 2026, manakala pasaran buruh kekal kukuh dengan kadar pengangguran sekitar 2.9 peratus pada suku pertama 2026,” jelasnya.



