
TENOM – Orang ramai digesa supaya tidak menyebarkan semula rakaman video dan gambar berkaitan kejadian buli membabitkan seorang murid perempuan di sebuah asrama sekolah di daerah ini, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, tindakan menyebarkan kandungan berkenaan hanya boleh memberi kesan negatif terhadap mangsa yang masih di bawah umur selain berpotensi mengganggu proses siasatan.
“Semua pihak perlu menghormati permintaan keluarga mangsa serta pelajar agar rakaman kejadian itu tidak terus ditularkan di media sosial.
“Kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Kita harus hormati permintaan ahli keluarga mangsa dan pelajar untuk tidak viralkan gambar dan video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.
Jamawi yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata, kejadian tersebut perlu menjadi peringatan kepada semua pihak mengenai pentingnya membanteras gejala buli dalam institusi pendidikan.
“Kerjasama antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti amat penting bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat untuk pelajar.
“Kita mengharapkan kerjasama semua pihak terutamanya PIBG dan sekolah agar mengambil langkah-langkah kesedaran ‘Elakkan Buli’ di sekolah masing-masing agar perkara seperti ini tidak berulang.
“Semoga ia menjadi pengajaran penting untuk kita semua,” ujarnya.
Sementara itu, Polis Daerah Tenom mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang murid perempuan yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di daerah berkenaan yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abdul Razak berkata, laporan diterima pada 23 Jun lalu dan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 11 Jun lalu di sebuah asrama sekolah di Tenom.
“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.
Menurutnya, setakat ini tiga individu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan termasuk individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian serta mereka yang terbabit dalam rakaman dan penyebaran video berkenaan.
“Beberapa barang kes turut dirampas bagi tujuan siasatan.
“Pihak polis memandang serius sebarang bentuk perlakuan buli, keganasan serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau memberi ancaman kepada mangsa.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan semula video kejadian kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan siasatan polis selain memberi kesan terhadap kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur.







