SEREMBAN – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut selepas dipercayai terjatuh dari blok bangunan sebuah sekolah menengah di Sendayan, pada Jumaat.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima maklumat pada jam 10.48 pagi tadi berhubung kejadian itu.
Menurut beliau, hasil laporan memaklumkan bahawa seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemui tidak sedarkan diri dalam kawasan sebuah sekolah menengah di daerah ini.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota polis digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan serta tindakan lanjut. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di kawasan bangunan sekolah itu,” katanya menerusi kenyataan, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Alzafny menegaskan, pasukan polis turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan mengenal pasti beberapa individu yang dapat membantu siasatan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Rembau, untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.
Alzafny berkata, pihak polis sedang meneruskan siasatan, termasuk mendapatkan keterangan daripada saksi dan laporan bedah siasat.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak disahkan yang boleh mengganggu siasatan polis.
“Sesiapa yang ada maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Seremban atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.






