
KUALA LUMPUR – Komuniti penghantar makanan dan barangan kini mempunyai sebuah ruang khusus untuk berehat beserta kemudahan asas menerusi D’Tebing Recharge Rider yang diperkenalkan sebagai Hab P-Hailing Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata ia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti pekerja gig di ibu negara.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyediakan kemudahan awam yang lebih inklusif.
“Termasuk responsif dan mesra pengguna bagi memenuhi keperluan komuniti rider yang sentiasa berkhidmat di lapangan tanpa mengira cuaca dan waktu,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Untuk rekod, D’Tebing Recharge Rider menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan komuniti p-hailing termasuk ruang rehat berbumbung, stesen pengecas telefon bimbit, surau, tandas awam serta ruang menunggu pesanan yang lebih selesa dan kondusif.
Dua unit ruang rehat D’Tebing Recharge Riders ini tersedia 24 jam bagi komuniti penghantar makanan dan barangan memanfaatkan ruang tersebut untuk berehat atau solat manakala stesen cas telefon bimbit akan dibuka bermula jam 8.00 pagi sehingga jam 11.00 malam mengikut masa operasi kedai di sekitar.
Selain itu, kedudukan D’Tebing Recharge Riders ini secara strategiknya ditempatkan berdekatan kedai makanan dan minuman yang turut menyediakan menu Rahmah serendah RM5 bagi menyokong komuniti ini yang turut bergelut dengan keadaan ekonomi dan perbelanjaan harian mereka.
Kemudahan ini bukan sekadar menyediakan ruang rehat, malah menjadi simbol pengiktirafan terhadap sumbangan komuniti rider yang memainkan peranan penting dalam menyokong kehidupan harian warga kota.
Penyediaan D’Tebing Recharge Rider mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dan DBKL untuk terus memperkukuh kesejahteraan komuniti pekerja gig melalui pendekatan pembangunan bandar yang lebih inklusif, prihatin dan berorientasikan rakyat.






