
TUARAN – Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) terus menjadi antara inisiatif kerajaan negeri dalam membantu golongan memerlukan melalui bantuan kewangan yang disalurkan kepada penerima yang layak.
Bagi sebahagian penerima, bantuan itu bukan sekadar sokongan kewangan, ia juga membantu mereka meneruskan kehidupan ketika berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah kesihatan dan sumber pendapatan yang tidak menentu.

Bagi Dulina Longkin, 64, dari Kampung Lingga, Kiulu, bantuan diterima digunakan bagi menampung kos perjalanan mendapatkan rawatan susulan di hospital selepas menjalani pembedahan pada bahagian pinggul kiri.
Menurutnya, masalah kesihatan yang dialami sejak Julai tahun lalu menyebabkan beliau tidak lagi mampu bekerja dan menjana pendapatan seperti sebelum ini.
“Tulang yang patah dan tercabut terpaksa digantikan dengan tulang palsu menerusi pembedahan yang dijalankan di hospital.
“Dulu saya perlu datang ke hospital setiap tiga bulan untuk rawatan susulan, tetapi sekarang hanya setiap enam bulan.
“Saya sudah tidak mampu mencari duit sendiri. Sebab itu bantuan ini memang sangat membantu,” kongsinya.
Tambah Dulina, beliau amat bersyukur kerana bantuan berkenaan membantu menampung kos rawatan dan perbelanjaan yang diperlukan.

Sementara itu, Moroh Biging, 56, dari Tamparuli berkata, bantuan diterima memberi kelegaan kepada keluarganya yang bergantung kepada pendapatan menjahit kasut.
Beliau yang mempunyai seorang anak dan seorang anak angkat yang masih bersekolah berkata, pendapatan diperoleh tidak menentu kerana bergantung kepada jumlah pelanggan.
Katanya, bantuan itu akan digunakan untuk membeli barangan dapur serta menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak.
“Kadang-kadang ada pendapatan, kadang-kadang tiada. Jadi bantuan ini memang membantu untuk kegunaan harian keluarga.
“Saya simpan juga untuk keperluan sekolah anak seperti tambang bas, yuran dan perbelanjaan lain,” kongsinya.
Tambahnya, beliau berasa terharu apabila menerima bantuan itu dan menyifatkan usaha petugas di peringkat akar umbi sebagai antara faktor yang membantu melancarkan proses permohonan.
Menurut Moroh, bantuan berkenaan memberi kelegaan kepada penerima yang benar-benar memerlukan sokongan untuk meneruskan kehidupan harian.
“Saya rasa ini hari yang menggembirakan bagi kami yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri dan semua petugas yang membantu sehingga bantuan ini sampai kepada kami,” katanya.

Dalam pada itu, Heleney Emin, 42, dari Bundung, Tuaran berkata, bantuan SYUKUR membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarga yang mempunyai dua anak masih bersekolah.
Beliau dan suaminya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan yang sekadar mencukupi untuk menampung keperluan harian.
Tambahnya, bantuan diterima akan digunakan untuk membeli barangan dapur serta menampung keperluan persekolahan anak berusia 13 dan lapan tahun.
“Saya belum pernah menerima bantuan seperti ini sebelum ini.
“Memang sangat membantu untuk meringankan perbelanjaan harian, terutama keperluan sekolah anak-anak dan barang dapur,” jelasnya.
Heleney berkata, penantian selama kira-kira setahun untuk menerima bantuan akhirnya berbaloi apabila beliau disenaraikan sebagai penerima program berkenaan.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana membantu rakyat yang memerlukan seperti kami,” ujarnya.





