PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mendedahkan bahawa seramai 38,953 individu kehilangan pekerjaan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini dengan sebahagian besarnya membabitkan umur di antara 25 hingga 39 tahun.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, perkara itu dibuktikan Berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di mana lelaki mencatatkan 23,536 kes atau 60.4 peratus, manakala wanita merekodkan 15,417 kes bersamaan 39.6 peratus.
Menurut beliau, kes kehilangan pekerjaan sepanjang Januari hingga Mei lalu itu meliputi beberapa sektor utama ekonomi, khususnya sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta pembaikan kenderaan bermotor, selain aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan.
“Keadaan itu sebahagian besarnya dipengaruhi langkah penstrukturan semula organisasi dan pelarasan operasi perniagaan yang dilaksanakan syarikat bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi semasa.
“Kementerian Sumber Manusia memandang serius peningkatan kes kehilangan pekerjaan (LOE) yang direkodkan dalam beberapa sektor ekonomi sepanjang lima bulan pertama 2026.
“Sehubungan itu, pelbagai langkah intervensi telah dan sedang dipergiat bagi membantu pekerja terjejas mendapatkan kerja baharu, meningkatkan kemahiran serta memperkukuh daya tahan pasaran buruh negara dalam menghadapi krisis geopolitik global,” katanya menerusi kenyataan, pada Ahad.
Walaupun berdepan cabaran, Ramanan menegaskan, pasaran buruh Malaysia kekal menunjukkan ketahanan yang kukuh dengan
jumlah tenaga buruh negara mencecah 17.33 juta orang dengan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0 peratus, pada April lalu.
Kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) pula, katanya, berada pada tahap 70.9 peratus, merangkumi 82.9 peratus bagi lelaki dan 57.3 peratus bagi wanita, sekali gus mencerminkan asas pasaran buruh yang masih kekal stabil dan berdaya tahan.
“KESUMA terus memantau secara rapi perkembangan ekonomi dan geopolitik global, termasuk ketidaktentuan yang berpotensi memberi kesan kepada sektor tenaga dan rantaian bekalan antarabangsa.
“Langkah pemantauan ini penting bagi membolehkan intervensi awal dilaksanakan untuk mengurangkan risiko terhadap pekerjaan serta memastikan tenaga kerja negara kekal berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan pasaran,” katanya.
Mengambil kira peningkatan kes kehilangan kerja, beliau berkata, ia menuntut usaha mempercepatkan peralihan tenaga kerja ke sektor yang mempunyai permintaan lebih tinggi.
Memandangkan sebahagian besar individu terjejas terdiri daripada golongan muda dan berkelayakan, kata Ramanan, tumpuan diberikan kepada penyelarasan kemahiran dengan keperluan industri masa hadapan melalui program peningkatan kemahiran dan latihan semula.
“Pekerja turut digalak memanfaatkan platform seperti Labour Market Exchange (LMX) dan MYFutureJobs Galaxy bagi mendapatkan maklumat pasaran buruh yang lebih komprehensif serta merancang laluan kerjaya yang bersesuaian.
“KESUMA memperkukuh daya tahan pasaran buruh melalui sokongan menyeluruh kepada pekerja yang terjejas,” katanya menambah bagi memastikan pekerja yang terjejas mendapat sokongan menyeluruh, KESUMA melaksanakan pelbagai inisiatif berteraskan tiga fokus utama.
Pada masa sama, pihaknya juga akan memantau trend pasaran buruh secara berterusan dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan.
“Inisiatif pertama adalah melalui peralihan kerjaya dan profil pekerja/sokongan kerjaya yang mana platform MYFutureJobs menghubungkan pekerja LOE dengan jawatan bersesuaian.
“Maklumat pasaran buruh diperoleh melalui LMX dan MYFutureJobsGalaxy, membolehkan pekerja membuat keputusan kerjaya berasaskan data, memahami keadaan pasaran semasa, serta merancang laluan kerjaya yang kompetitif dan fleksibel,” katanya.
Tambahnya, inisiatif kedua membabitkan program peningkatan kemahiran dengan PERKESO menyediakan program latihan untuk membina kemahiran baharu atau meningkatkan kemahiran sedia ada.
“Ini selaras dengan keperluan sektor yang berkembang, membolehkan pekerja menyesuaikan diri dengan permintaan industri dan meningkatkan kebolehpasaran.
“Inisiatif ketiga merangkumi intervensi awal untuk sektor kritikal di mana PERKESO mengenal pasti sektor berpotensi terjejas dan melaksanakan intervensi awal bagi memastikan pekerja dapat menyesuaikan diri dengan cepat, memanfaatkan peluang peralihan kerjaya dan memperkukuh daya saing mereka,” katanya.








