
SARATOK – Institusi pendidikan tinggi milik kerajaan Sarawak, i-CATS University College terus komited memperluaskan akses pendidikan kepada pelajar luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, usaha itu selari dengan matlamat untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.
Katanya, pembangunan modal insan berkualiti merupakan antara keutamaan kerajaan negeri dalam menjayakan aspirasi Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Sarawak memerlukan generasi muda yang bukan sahaja mampu menguasai teknologi, malah berupaya mencipta inovasi serta membuka peluang pekerjaan baharu.
“Kita mahu anak Sarawak menjadi pencetus kemajuan melalui penguasaan ilmu dan teknologi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Keterlibatan Komuniti i-CATS 2026 di Pentas Utama Sri Kalaka pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohamad menyeru golongan pelajar supaya merebut peluang meneroka bidang berpotensi tinggi bagi memacu ekonomi masa hadapan.
Beliau menyenaraikan bidang seperti teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu, aeroangkasa serta pertanian moden sebagai sektor utama.
Tambahnya, ibu bapa dan pelajar juga digalakkan untuk mendapatkan maklumat berkaitan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) bagi memanfaatkan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Ujarnya lagi, pencapaian i-CATS University College yang kini memperoleh status universiti penuh turut membuktikan kemampuan institusi pendidikan milik kerajaan negeri itu untuk berdiri setanding dengan institusi pendidikan tinggi lain.
Sementara itu, Naib Canselor i-CATS University College, Profesor Emeritus Datuk Dr Ts Mohamad Kadim Suaidi berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif universiti untuk mendekati masyarakat.
Katanya, inisiatif itu digerakkan melalui perkongsian maklumat pendidikan dan pembangunan kemahiran.
Jelas beliau, program tersebut memberi ruang kepada pelajar serta ibu bapa untuk mendapatkan maklumat secara terus mengenai program akademik serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan.
Program yang menghimpunkan kira-kira 600 pelajar dari kawasan Saratok dan Kabong itu turut dimeriahkan dengan pameran inovasi.
Pameran tersebut mempamerkan hasil projek mahasiswa dalam bidang robotik, aeroangkasa, kejuruteraan, agroteknologi dan kulinari.






