
KUCHING – Anak Sarawak diseru untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris sebagai langkah pragmatik bagi mendepani cabaran pasaran kerja antarabangsa, tanpa sama sekali meminggirkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, realiti sektor pekerjaan pada hari ini banyak dipacu oleh kehadiran pelabur asing yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi utama.
Menurut beliau, keupayaan menguasai bahasa tersebut adalah kritikal bagi memastikan graduan tempatan kekal berdaya saing dan tidak ketinggalan dalam merebut peluang kerjaya yang ditawarkan oleh para pelabur.
“Penguasaan bahasa Inggeris sentiasa ditekankan kerana kita mahu menjamin kelangsungan masa depan generasi muda Sarawak.
“Namun, penekanan ini tidak bermaksud kita mengenepikan atau meminggirkan bahasa kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Konvensyen Graduan Melayu Sarawak (KGMS) 2.0 Tahun 2026 bertemakan “Harapan Dan Realiti Sarawak Maju 2030” di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce (TAZA), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang pada Khamis.
Dr Annuar hadir bagi menyampaikan ucapan dan mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Dipertua Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS), Ir Ts Syed Hossin Wan Hamit; Ketua Pegawai Eksekutif Leadership Institute of Sarawak Civil Service, Datuk Dr Azhar Ahmad; dan Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Dato Dr Wan Ali Tuanku Madhi.
Menyentuh mengenai perlindungan penggunaan bahasa Inggeris di negeri itu, Dr Annuar menjelaskan ia adalah selaras dengan jaminan yang termaktub di bawah Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) Artikel 17 dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pendekatan tersebut diambil semata-mata atas dasar keperluan pembangunan modal insan dan ekonomi semasa.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi perkembangan mengenai kestabilan ekonomi negeri yang membolehkan kerajaan Sarawak memulangkan semula hasil pendapatan kepada rakyat menerusi pelbagai instrumen termasuk agenda pendidikan.
“Selaras dengan prinsip bahawa lebihan pendapatan negeri harus dipulangkan kepada rakyat, kerajaan kini menggunakan kedudukan kewangan yang kukuh itu untuk membiayai inisiatif pendidikan percuma bagi anak-anak Sarawak, walaupun perkara ini tidak pernah dijadikan sebagai janji pilihan raya,” jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan ahli komuniti agar terus mempertahankan formula keharmonian negeri dengan menolak sebarang bentuk sentimen politik perkauman demi memastikan kestabilan politik jangka panjang dapat terus dinikmati seluruh lapisan rakyat.






