
KUCHING – Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee menzahirkan penghargaan dan memuji inisiatif Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) atas kejayaan penganjuran Konvensyen Graduan Melayu Sarawak (KGMS) 2.0 Tahun 2026.
Beliau yang berucap mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan penganjuran program tersebut sebagai satu usaha murni dan amat kritikal dalam merangka serta menentukan hala tuju masa depan masyarakat Melayu di negeri ini.
Dalam ucaptama tersebut, Dr Annuar turut mengulangi saranan agar generasi muda Sarawak terus memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris sebagai langkah pragmatik bagi mendepani cabaran pasaran kerja global yang dipacu pelabur asing.

Tegas beliau, pendekatan itu diambil atas dasar kelangsungan ekonomi tanpa sama sekali meminggirkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Beliau juga menambah, pengurusan kewangan negeri yang cemerlang serta penolakan terhadap politik perkauman telah membolehkan kerajaan Sarawak menikmati kestabilan, sekali gus mengembalikan kekayaan kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif termasuk pendidikan percuma.
Konvensyen yang berlangsung pada 11 Jun 2026 bertempat di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce (TAZA), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang itu berjaya menghimpunkan kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada graduan, profesional muda, serta mahasiswa.

Sementara itu, Yang Dipertua IGMS, Ir Ts Syed Hossin Wan Hamit dalam ucapan alu-aluannya berkata, konvensyen yang membawa tema ‘Harapan Dan Realiti Sarawak Maju 2030’ itu mengupas empat teras utama landskap kemajuan negeri iaitu politik, ekonomi, pendidikan, dan sosial.
Menutup bicaranya, Syed Hossin menggariskan empat aspirasi utama IGMS demi menjamin kelangsungan generasi akan datang.
“Harapan kami adalah untuk memastikan kekayaan bumi Sarawak dikongsi secara adil, setiap keluarga Melayu mampu memiliki kediaman sendiri, akses pendidikan dapat diterjemah kepada peluang kerjaya bertaraf global, serta kepemimpinan masa depan Sarawak berjaya dilahirkan daripada kalangan peserta konvensyen ini,” tegasnya.
Pada masa yang sama, beliau turut memberi pencerahan terma ‘harapan’ yang menjadi tunjang konvensyen tersebut adalah manifestasi murni perjuangan bangsa, dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana entiti mahupun fahaman politik.






