Polis Sabah tumpaskan sindiket dadah, rampas syabu hampir RM8 juta

KOTA KINABALU – Polis Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran syabu dan merampas dadah disyaki methamphetamine seberat 159.8 kilogram bernilai kira-kira RM7.99 juta menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Kota Kinabalu, pada Khamis.

Ketua Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 18 hingga 49 tahun.

“Tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 3.40 petang selepas pasukan polis menerima maklumat risikan berhubung aktiviti pengedaran dadah di bandar raya ini.

“Seorang lelaki tempatan ditahan ketika sedang mengangkat sebuah kotak sebelum bertindak melarikan diri ke arah kawasan pusat beli-belah,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Rabu.

Menurut Jauteh, pasukan serbuan bertindak mengejar suspek dan berjaya memberkasnya sebelum pemeriksaan terhadap kotak yang dibawanya menemukan sembilan bungkusan dadah disyaki syabu dengan anggaran berat kasar 9.1 kilogram.

“Hasil soal siasat terhadap suspek utama itu kemudian membawa kepada pemeriksaan di sebuah rumah di kawasan Luyang yang menemukan 64 peket plastik lutsinar yang telah dikoyakkan dan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

Siasatan lanjut katanya, membawa polis ke sebuah hotel di pusat bandar Kota Kinabalu, di mana seorang lelaki dan seorang wanita turut ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah yang sedang disiasat.

“Dalam serbuan ketiga yang dipandu arah oleh suspek pertama, polis menyerbu sebuah unit kediaman di kawasan Inanam dan merampas 68 bungkusan syabu dengan anggaran berat 69.8 kilogram,” ujarnya.

Tambahnya, operasi susulan pada malam yang sama turut membawa kepada pemeriksaan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang diparkir di kawasan apartmen berkenaan.

“Pemeriksaan rapi ke atas kenderaan itu menemukan 79 lagi bungkusan syabu seberat 80.9 kilogram yang disorokkan di bahagian pintu penumpang, tempat duduk belakang dan kompartmen belakang kereta tersebut.

“Secara keseluruhan, polis merampas 156 bungkusan dadah disyaki syabu dengan berat keseluruhan 159.8 kilogram yang dianggarkan bernilai RM7.99 juta, sekali gus menjadikan rampasan itu antara yang terbesar direkodkan di Sabah tahun ini.

“Jumlah dadah yang dirampas dipercayai mampu menampung kira-kira 454,285 kali penggunaan oleh penagih, sekali gus menggambarkan kesan besar yang berjaya dicegah hasil tindakan pantas pihak berkuasa,” jelasnya.

Sementara itu, hasil saringan awal air kencing mendapati dua suspek lelaki negatif dadah, manakala suspek wanita didapati positif methamphetamine dan amphetamine. Semakan lanjut juga mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam operasi sama, polis turut menyita dua kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

“Kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.

Related Posts

14 kontinjen meriahkan perarakan budaya Gawai Brumbiak Pinyawa 2026

PADAWAN – Sambutan Gawai Brumbiak Pinyawa 2026 berlangsung meriah dengan penyertaan 14 kontinjen dalam perarakan budaya yang menjadi acara kemuncak program tersebut pada Ahad. Perarakan yang bermula dari Dewan Kampung Serumah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Dewan serbaguna RM500,000 bakal beri keselesaan warga SMK St Patrick

MUKAH – Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick bakal menikmati kemudahan dewan serbaguna baharu bernilai RM500,000 menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP). Timbalan Menteri Ekonomi ⁠merangkap Ahli Parlimen…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

14 kontinjen meriahkan perarakan budaya Gawai Brumbiak Pinyawa 2026

14 kontinjen meriahkan perarakan budaya Gawai Brumbiak Pinyawa 2026

Dewan serbaguna RM500,000 bakal beri keselesaan warga SMK St Patrick

Dewan serbaguna RM500,000 bakal beri keselesaan warga SMK St Patrick

10 tahun menabur bakti, Kelana C Tawau kekal relevan

10 tahun menabur bakti, Kelana C Tawau kekal relevan

Pas lantik semula Hamzah Ketua Pembangkang satu pukulan ‘K.O’ kepada Bersatu

Pas lantik semula Hamzah Ketua Pembangkang satu pukulan ‘K.O’ kepada Bersatu

Kenderaan pengangkutan Sabah, Sarawak dan Labuan perlu segera daftar SKDS

Kenderaan pengangkutan Sabah, Sarawak dan Labuan perlu segera daftar SKDS

Projek RMK13 disaring semula ikut keupayaan fiskal semasa

Projek RMK13 disaring semula ikut keupayaan fiskal semasa