TOKYO – Hubungan Malaysia dan Jepun yang saling melengkapi dalam sektor teknologi dan pembuatan berpotensi membina ekosistem teknologi yang lebih berdaya tahan ketika rantaian bekalan global berdepan pelbagai tekanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh digembleng bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor strategik, khususnya industri semikonduktor.
Menurutnya, kekuatan Malaysia dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan termaju semikonduktor melengkapi kepimpinan Jepun dalam bidang bahan, peralatan dan pembuatan berteknologi tinggi.
“Malaysia yang semakin kukuh dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan termaju semikonduktor melengkapi kepimpinan Jepun dalam bahan, peralatan dan pembuatan termaju.
“Bersama-sama, kita mempunyai peluang untuk membina ekosistem teknologi yang lebih berdaya tahan dan bersepadu ketika rantaian bekalan berdepan tekanan yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik di Tokyo, pada Rabu.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerjasama erat Malaysia dan Jepun bukanlah sesuatu yang baharu, malah telah menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada pembangunan industri negara sejak beberapa dekad lalu.
Beliau memaklumkan, ketika Pulau Pinang memulakan transformasi perindustrian pada tahun 1970-an, syarikat Jepun memainkan peranan penting dalam meletakkan asas kepada pembangunan negeri itu sebagai hab elektronik dan semikonduktor terkemuka di Asia.
Menurutnya, hubungan berkenaan dibina bukan sekadar berasaskan pelaburan, sebaliknya berpaksikan keyakinan, perkongsian serta komitmen terhadap pembangunan jangka panjang.
“Dalam sektor tenaga pula, kerjasama Malaysia dan Jepun mampu membantu Asia mempercepat peralihan kepada masa depan rendah karbon tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga.
“Menerusi inisiatif seperti Asia Zero Emission Community (AZEC), kedua-dua negara membuktikan agenda kelestarian dan pembangunan ekonomi boleh bergerak seiring.
“Justeru, Malaysia dan Jepun juga perlu memperkukuh kerjasama dalam ekonomi digital serta kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan inovasi yang dibangunkan bersifat inklusif dan berteraskan kepentingan rakyat,” katanya.

