
PADANG BESAR – Program Hasrat MADANI Parlimen Padang Besar yang berlangsung di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Felda Mata Air, Perlis, mendapat sambutan luar jangka apabila menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas berusia 70 tahun ke atas.
Pengerusi Panel Penasihat NADI Parlimen Padang Besar, Nazerina Mahmud berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan masyarakat luar bandar mempunyai minat tinggi untuk mendapatkan maklumat mengenai dasar, bantuan dan pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan.
“Alhamdulillah, program ini sangat memberi manfaat dari segi ilmu dan pengetahuan kepada penduduk, terutama komuniti Felda Mata Air dan Parlimen Padang Besar.
“Kita dapat lihat pelbagai perkara dikongsikan, termasuk Belanjawan 2027, penipuan dalam talian dan inisiatif yang disediakan Kerajaan MADANI. Ini peluang kepada penduduk untuk mendapatkan maklumat secara langsung,” katanya kepada pemberita The Malaysia Press, pada Khamis.

Menurut Nazerina, pada awalnya dia menjangkakan program berkenaan akan lebih banyak disertai penduduk berusia antara 40 hingga 55 tahun, namun kehadiran warga emas berusia 60 hingga 70 tahun ke atas turut mencuri perhatian.
“Pada mulanya saya menjangkakan kebanyakan peserta berusia antara 40 hingga 55 tahun, tetapi rupanya ramai juga warga emas yang hadir.
“Sambutan memang sangat menggalakkan sehingga memenuhi ruang program. Kalau boleh, saya berharap J-KOM dapat menganjurkan lebih banyak program seperti ini, mungkin di dewan yang lebih besar supaya lebih ramai penduduk dapat menyertainya,” katanya.
Tambah Nazerina, selain memberi pendedahan mengenai inisiatif kerajaan, program berkenaan turut membuka peluang kepada penduduk untuk memahami kepentingan keselamatan dalam talian, khususnya ancaman penipuan atau scam yang semakin membimbangkan.
Dalam pada itu, Nazerina menggalakkan masyarakat memanfaatkan kemudahan NADI yang menyediakan pelbagai latihan kemahiran, termasuk keusahawanan dalam talian, jahitan dan membaiki telefon bimbit.

Katanya, kemudahan berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan pengetahuan digital, malah memberi peluang kepada penduduk menambah kemahiran yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan.
“Seboleh-bolehnya saya mahu komuniti di sini mengambil peluang daripada apa sahaja yang kerajaan sediakan, termasuk kemudahan NADI, belajar secara dalam talian, memulakan perniagaan, menjahit atau membaiki telefon bimbit.
“Kalau ada yang tidak tahu mengenai inisiatif kerajaan atau cara membuat permohonan, mereka boleh berhubung dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) atau Jabatan Komunikai Komuniti (JKOM) melalui saluran yang betul,” kongsinya.
Tambahnya lagi, terdapat enam pusat NADI di bawah penyelarasan beliau di Parlimen Padang Besar yang berperanan membantu penduduk mendapatkan akses kepada maklumat dan perkhidmatan digital.
Beliau berharap kerjasama antara NADI, JaPen, JKOM dan agensi berkaitan dapat diteruskan menerusi lebih banyak program turun padang bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan serta kemajuan teknologi.



