TOKYO – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas ketika ini dibimbangi memiliki kemampuan untuk menjadi satu alat penjajahan digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun teknologi itu berpotensi mempercepatkan produktiviti, mengubah landskap industri serta membuka laluan baharu kepada pembangunan, ia turut membawa risiko yang tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata perkembangan AI berupaya melebarkan jurang ketidaksamaan, menumpukan kuasa kepada pihak tertentu serta menyebabkan banyak negara bergelut untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang berlaku dengan begitu pantas.
“AI menggambarkan kedua-dua potensi dan risiko era baharu ini. Ia berpotensi mempercepatkan produktiviti, mentransformasikan industri dan membuka laluan baharu kepada pembangunan.
“Namun, ia juga berisiko melebarkan ketidaksamaan, menumpukan kuasa dan menyebabkan banyak masyarakat bergelut untuk mengejar perkembangan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik di Tokyo, pada Rabu.
Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, masa depan AI tidak boleh ditentukan hanya oleh segelintir pihak atau syarikat swasta yang mempunyai pengaruh besar dalam pembangunan teknologi berkenaan.
Sebaliknya, negara membangun juga perlu diberikan ruang yang lebih besar dalam membentuk peraturan serta kerangka tadbir urus yang akan menentukan kehidupan masyarakat pada masa hadapan.
“Walau sama ada dalam bentuk ‘misi memodenkan’ yang baharu atau ‘penjajahan digital’, kita mesti menolak sebarang manifestasi baharu ‘fasisme teknologi’.
“Negara membangun mesti mempunyai suara yang kukuh dalam membentuk peraturan dan kerangka tadbir urus yang akan mempengaruhi kehidupan berbilion manusia,” katanya.
Beliau berkata, cabaran yang dibawa oleh AI membuktikan bahawa isu teknologi tidak boleh ditangani secara bersendirian oleh mana-mana negara.
“Kerjasama, kepercayaan dan institusi yang mampu menghimpunkan pelbagai kepentingan adalah kunci untuk memastikan kemajuan teknologi memberi manfaat kepada semua pihak.
“Untuk itu, Malaysia dan Jepun perlu terus memperkukuh kerjasama dalam ekonomi digital dan AI bagi memastikan inovasi yang dibangunkan kekal berteraskan rakyat serta bersifat inklusif,” katanya.

