Anwar kecam ekonomi diguna sebagai senjata geopolitik oleh negara kuasa besar

TOKYO – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik kecenderungan negara kuasa besar dunia menggunakan ekonomi sebagai senjata geopolitik sehingga menjejaskan kestabilan perdagangan global.

Beliau menegaskan, ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik yang semakin kompleks, sistem perdagangan pelbagai hala yang selama ini menjadi tunjang integrasi ekonomi dunia kini berdepan tekanan.

Malah, Anwar memaklumkan, perkara itu pastinya memberi kesan paling ketara kepada negara-negara membangun yang lebih mudah terjejas terhadap sebarang krisis.

“Sekatan eksport dan dasar perindustrian kini semakin dipengaruhi oleh persaingan geopolitik. Yang paling membimbangkan ialah kecenderungan yang semakin meningkat untuk menjadikan saling kebergantungan ekonomi sebagai senjata.

“Rantaian bekalan, teknologi, mineral kritikal, kewangan dan akses pasaran semakin dilihat melalui lensa persaingan, bukannya manfaat bersama.

“Bagi kuasa besar, perkara ini boleh dimanfaatkan sebagai instrumen kenegaraan. Namun bagi banyak negara lain, ia menjadi sumber kerentanan,” katanya.

Beliau berucap demikian pada ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik di Tokyo, pada Rabu.

Tambahnya, keadaan itu dapat dilihat menerusi konflik berpanjangan di Gaza, ketegangan di Asia Barat, peperangan di Ukraine serta persaingan kuasa besar di rantau Asia yang terus memberi kesan kepada kestabilan dan keamanan sejagat.

“Kita masih menjadi tebusan kepada dinamika kuasa sifar jumlah yang menyaksikan pihak yang kuat terus berkepentingan untuk menekan yang lemah. Ini adalah formula kegagalan.

“Tragedi berterusan di Gaza, ketegangan di Asia Barat dan kesan global yang semakin meruncing, serta perang berpanjangan di Ukraine mengingatkan kita tentang rapuhnya keamanan dan keterbatasan konsensus antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata pertikaian di Laut China Selatan turut menimbulkan ancaman terhadap kestabilan maritim serantau, manakala program nuklear dan keupayaan peperangan konvensional serta siber Korea Utara turut menjadi cabaran keselamatan yang perlu diberi perhatian.

“Justeru, dunia memerlukan kepimpinan yang berani menyuarakan kebenaran dan ketidakadilan, bukannya terus membiarkan pendekatan politik kuasa membentuk hala tuju hubungan antarabangsa.

“Malah, negara membangun seperti Malaysia dan lain-lain negara ASEAN mempunyai peranan penting untuk menjadi jambatan dalam merapatkan jurang perbezaan serta membina kesepakatan ketika dunia semakin berpecah,” katanya.

Related Posts

Hubungan saling melengkapi Malaysia-Jepun bina ekosistem teknologi berdaya tahan ketika krisis global

TOKYO – Hubungan Malaysia dan Jepun yang saling melengkapi dalam sektor teknologi dan pembuatan berpotensi membina ekosistem teknologi yang lebih berdaya tahan ketika rantaian bekalan global berdepan pelbagai tekanan. Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Dunia tidak perlukan kuasa namun hala tuju kepimpinan jelas –  Anwar

TOKYO – Dunia kini menghadapi kekurangan hala tuju yang jelas dalam kepimpinan dan bukannya kuasa, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Berucap pada Forum Nikkei bertajuk “Navigating Strategic Uncertainty”…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hubungan saling melengkapi Malaysia-Jepun bina ekosistem teknologi berdaya tahan ketika krisis global

Hubungan saling melengkapi Malaysia-Jepun bina ekosistem teknologi berdaya tahan ketika krisis global

Dunia tidak perlukan kuasa namun hala tuju kepimpinan jelas –  Anwar

Dunia tidak perlukan kuasa namun hala tuju kepimpinan jelas –  Anwar

Negara berdaulat harus lebih tegas pertahankan perdagangan bebas – PMX

Negara berdaulat harus lebih tegas pertahankan perdagangan bebas – PMX

Anwar kecam ekonomi diguna sebagai senjata geopolitik oleh negara kuasa besar

Anwar kecam ekonomi diguna sebagai senjata geopolitik oleh negara kuasa besar

AI dibimbangi jadi alat penjajahan digital – PMX

AI dibimbangi jadi alat penjajahan digital – PMX

Malaysia-Jepun tandatangan 4 kerjasama bidang strategik

Malaysia-Jepun tandatangan 4 kerjasama bidang strategik