TOKYO – Malaysia dan Jepun memeterai empat Memorandum Kerjasama (MoC) dalam pelbagai bidang strategik termasuk keselamatan maritim, alam sekitar, pengurusan sisa pepejal dan peraturan peranti perubatan bagi memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara.
Empat MoC yang dimeterai meliputi kerjasama dalam bidang keselamatan dan keselamatan maritim, alam sekitar dan kelestarian, pengurusan sisa pepejal serta rangka kerja kawal selia peranti perubatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua memorandum yang diumumkan itu kini perlu diterjemahkan kepada tindakan dan pelaksanaan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Kita telah memeterai empat Memorandum Kerjasama yang telah diumumkan dan saya fikir sudah tiba masanya untuk memastikan kita melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, di Pejabat Perdana Menteri Jepun di Tokyo, pada Rabu.
Selain itu, kedua-dua negara turut bertukar dua Surat Hasrat (LOI) membabitkan kerjasama keselamatan dan peralihan tenaga serta pertukaran akademik antara Universiti Tokyo dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata beliau menghargai sokongan Jepun terhadap pelbagai isu serantau termasuk ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN.
Katanya, kedua-dua negara turut membincangkan perkembangan di Myanmar dan usaha berterusan untuk menggalakkan negara itu kembali memainkan peranan lebih aktif dalam ASEAN.
Menurut beliau, Malaysia akan terus bekerjasama dengan Jepun dalam menyokong usaha tersebut memandangkan terdapat beberapa perkembangan positif yang sedang berlaku di negara berkenaan.
Ini termasuk menyokong visi Jepun mengenai Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka sebagai antara pendekatan penting dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran rantau ini.

