
BERAKHIRNYA kerjasama politik antara Pas dan Bersatu yang diputuskan semalam bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sejarah membuktikan hubungan Pas dengan beberapa parti politik sebelum ini sering berakhir dengan perpisahan.
Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Aminuddin Omar berkata, pergolakan dalaman yang melanda Bersatu ketika ini menjadi antara faktor yang boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, tindakan pemecatan terhadap beberapa pemimpin utama Bersatu telah memberi gambaran bahawa parti itu semakin berdepan cabaran besar untuk mengekalkan kekuatan politiknya.
“Perpecahan yang berlaku dalam Bersatu sehingga menyebabkan beberapa pemimpin utama dipecat menunjukkan parti itu sedang melalui fasa yang sukar.
“Keadaan ini sudah tentu menimbulkan kebimbangan kepada Pas yang perlu membuat perancangan rapi bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Aminuddin berkata, Pas kini berada pada kedudukan yang lebih selesa untuk bergerak secara bersendirian berikutan keyakinan parti itu terhadap kekuatan jentera serta kemampuan kewangannya sendiri.
Katanya, Pas sebelum ini turut mendakwa parti itu semakin diterima oleh masyarakat pelbagai kaum dan lapisan, selain mendapat sokongan besar daripada golongan muda menerusi fenomena yang sering digelar sebagai ‘gelombang hijau’.
“Pas pernah menyatakan bahawa mereka mampu berdiri di atas kaki sendiri dan tidak lagi bergantung kepada mana-mana parti.
“Jika benar gelombang hijau terus mendapat sokongan rakyat, sudah tentu Pas melihat peluang lebih besar untuk bergerak secara solo,” katanya.
Beliau berkata, langkah Pas bergerak sendiri juga mampu menepis persepsi bahawa parti itu bergantung kepada kekuatan kewangan atau pengaruh politik Bersatu untuk menghadapi pilihan raya selama ini.
Menurutnya, sebagai sebuah parti yang telah berusia 75 tahun, Pas mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam arena politik negara dan berupaya menentukan hala tuju sendiri.
Mengulas kedudukan politik di Kedah, Aminuddin berpandangan bahawa pemecatan beberapa ADUN Bersatu tidak akan menggugat kestabilan kerajaan negeri.
Beliau yakin empat ADUN yang dikaitkan dengan tindakan disiplin parti akan terus memberikan sokongan kepada Menteri Besar Kedah demi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.
Empat ADUN terbabit ialah Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Mohd Salleh Saidin (Kubang Rotan), Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Muhammad Amri Wahab (Derga).
“Dengan sokongan yang berterusan kepada kerajaan negeri, saya tidak melihat sebarang keperluan untuk diadakan pilihan raya negeri dalam masa terdekat.





