
KOTA KINABALU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah berjaya menumpaskan beberapa cubaan penyeludupan melibatkan dadah, rokok tidak berkastam, minuman keras serta kenderaan dalam tujuh operasi berasingan di seluruh negeri dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM4 juta.
Pengarahnya, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan Kastam Sabah dalam membanteras aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Dalam kes pertama, Kastam Tawau berjaya mematahkan cubaan pengedaran dadah selepas merampas dua kotak mengandungi bahan disyaki kokain dan ganja di sebuah premis perkhidmatan kurier pada 21 Mei lalu.
“Rampasan melibatkan 4.6 kilogram (kg) kokain dan 10.65 kg ganja dengan nilai keseluruhan RM2.9 juta. Modus operandi yang digunakan adalah menghantar bahan terlarang melalui perkhidmatan kurier,” ujarnya dalam sidang media Kastam Sabah, di Menara Kastam Sabah, pada Selasa.

Selain itu, beliau berkata, menerusi Ops Tuai di Keningau pada 25 Mei lalu, pasukan penguatkuasaan menemui sebanyak 279,400 batang rokok dipercayai tidak berkastam yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran Kampung (Kg) Sindukut, Batu 11, Keningau-Sook.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM251,618.80 dengan sindiket dipercayai menggunakan kawasan terpencil sebagai lokasi transit sebelum barangan tersebut diedarkan ke pasaran tempatan.
“Satu lagi operasi di Keningau pada 26 Mei lalu, pasukan penguatkuasaan menahan sebuah kenderaan Toyota Hilux Double Cab 4X4 di Jalan Rancangan Belia Tiulon ke Kg Simbuan, Sook dan menemukan 560 liter minuman keras pelbagai jenama berlabel ‘Malaysian Duty Not Paid’ (MDNP).
“Nilai keseluruhan barang kes termasuk kenderaan dianggarkan RM111,817.07 dan dipercayai diseludup dari Wilayah Persekutuan Labuan untuk pasaran di Kawasan Utama Kastam,” jelasnya.

Tambahnya, cubaan menyeludup 15,840 liter bir bernilai RM341,946 berjaya dipatahkan di Kota Kinabalu selepas pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah kontena di Kawasan Pemeriksaan Kastam (CEA), Pelabuhan Sepanggar pada 22 Mei lalu.
“Siasatan awal mendapati minuman keras itu dipercayai dibawa masuk dengan membuat pengikraran yang tidak benar atau mengelirukan terhadap jenis barangan yang diimport.
“Dalam kes berasingan pada 24 Mei lalu, pasukan operasi penguatkuasaan Kota Kinabalu turut merampas 4,992 liter bir pelbagai jenama bersama sebuah lori bonded di Jalan Kuala Penyu, Tamu Kayul.
“Jumlah keseluruhan nilai barang kes, kenderaan dan cukai yang terlibat dianggarkan RM247,572.08.
“Sindiket dipercayai menggunakan lori bonded bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa serta mengelak pembayaran duti dan cukai,” katanya.

Tambahnya lagi, Kastam Tawau turut berjaya menggagalkan cubaan mengedar 61,200 batang rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak berkastam pada 23 Mei lalu.
“Rampasan dibuat di dalam sebuah Toyota Fortuner yang ditemui di kawasan tempat letak kereta Dinamik Club, Jalan Salleh, Tawau dengan nilai keseluruhan kes berjumlah RM224,482.40.
“Selain itu, hasil risikan yang dijalankan pada 22 Mei lalu membawa kepada rampasan sebuah Honda Jazz bernilai RM63,250 di Kg Tinagat, Tawau.
“Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut disyaki tidak berkastam dan tidak memenuhi syarat pengecualian duti serta cukai yang ditetapkan apabila dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam,” kongsinya.
Menurutnya, semua kes sedang disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Kastam 1967, selain tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
Katanya, penyeludupan bukan sahaja menyebabkan kehilangan hasil negara, malah boleh menjejaskan keselamatan awam dan kesejahteraan masyarakat.






