Pas belum maafkan Bersatu, krisis Perlis terus hantui PN

KENYATAAN Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengenai kepercayaan yang sukar dipulihkan dilihat mengesahkan bahawa krisis politik Perlis masih menjadi titik hitam dalam hubungan antara Pas dan Bersatu).

Walaupun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berusaha meredakan keadaan dengan menegaskan hubungan baik antara kedua-dua parti, Pas nampaknya belum bersedia untuk menutup sepenuhnya episod yang membawa kepada kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis pada penghujung 2024.

Bagi pemerhati politik, kenyataan Ahmad Fadhli seperti dilaporkan media tempatan bukan sekadar mengulas hubungan semasa dalam Perikatan Nasional (PN), sebaliknya membawa mesej bahawa isu kepercayaan terhadap Bersatu masih menjadi pertimbangan utama Pas.

Ia apabila beliau secara terbuka membangkitkan semula tindakan Bersatu menghantar nama calon Menteri Besar daripada parti itu walaupun Pas menguasai majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ketika krisis berkenaan berlaku.

Malah, beliau turut mengaitkan isu dakwaan kewujudan titah diraja dan akuan bersumpah (SD) membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), perkara yang sejak sekian lama menjadi pertikaian antara pimpinan Pas dan Bersatu di negeri itu.

Hakikat bahawa isu tersebut masih diungkit menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Pas pusat menunjukkan luka politik yang tercetus di Perlis belum benar-benar sembuh.

Di peringkat negeri, beberapa pemimpin Pas Perlis sebelum ini juga berulang kali membangkitkan isu SD yang didakwa menjadi sebahagian daripada usaha menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Mohd Shukri Ramli.

Walaupun Bersatu konsisten menafikan penglibatan dalam sebarang gerakan menjatuhkan kerajaan negeri, naratif yang dibawa Pas menunjukkan sebahagian akar umbi parti itu masih menyimpan keraguan terhadap rakan gabungannya.

Situasi tersebut meletakkan Perlis sebagai antara negeri yang paling jelas memperlihatkan keretakan hubungan antara Pas dan Bersatu berbanding negeri-negeri lain dalam PN.

Sekiranya Mesyuarat Pas Pusat malam ini memutuskan untuk menilai semula bentuk kerjasama dengan Bersatu, perkembangan itu dijangka memberi kesan langsung kepada landskap politik Perlis yang sejak dua tahun lalu menjadi simbol krisis kepercayaan dalam gabungan berkenaan.

Buat masa ini, Pas dan Bersatu mungkin masih berada di bawah payung yang sama, namun kenyataan Ahmad Fadhli memberi gambaran bahawa bagi sebahagian pimpinan Pas, episod Perlis masih belum berakhir dan persoalan kepercayaan terhadap Bersatu terus menghantui masa depan PN.

Jika Mesyuarat Pas Pusat malam ini memutuskan hubungan dengan Bersatu perlu dikaji semula atau diperketatkan syarat kerjasama, Perlis mungkin menjadi antara negeri yang paling terkesan kerana konflik di sini lebih mendalam berbanding negeri lain.

Putus atau sekadar amaran politik? Sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.

Related Posts

AMK persoal pendirian BN tuntut 21 kerusi PRN Melaka

KUALA KANGSAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan pendirian Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021, sedangkan rundingan pembahagian kerusi dengan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PKR belum terima surat letak jawatan ahli Parlimen

PUTRAJAYA – PKR tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada mana-mana ahli Parlimen parti itu. Ia sekali gus, menepis spekulasi yang bertiup kencang mengenai dakwaan seorang wakil rakyat PKR bakal…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar puji tindakan AKPS sita kontena disyaki bawa dagangan ke Israel

Anwar puji tindakan AKPS sita kontena disyaki bawa dagangan ke Israel

Siasatan RCI TH tanpa kompromi, yang bersalah akan dikenakan tindakan – PM

Siasatan RCI TH tanpa kompromi, yang bersalah akan dikenakan tindakan – PM

Cuti sementara Nurul Izzah tidak jejas PKR – Fahmi

Cuti sementara Nurul Izzah tidak jejas PKR – Fahmi

Negara Arab banyak hancur kerana ekstremis, Malaysia jangan ulang kesilapan sama – Syeikh Wazir

Negara Arab banyak hancur kerana ekstremis, Malaysia jangan ulang kesilapan sama – Syeikh Wazir

Sebelum sepenggal, PMX berjaya letak Malaysia jadi 30 ekonomi terbesar dunia

Sebelum sepenggal, PMX berjaya letak Malaysia jadi 30 ekonomi terbesar dunia

Dua penjenayah mati ditembak, polis selamatkan mangsa culik

Dua penjenayah mati ditembak, polis selamatkan mangsa culik