
SANDAKAN – Penduduk Kampung (Kg) Gayan Sibugal dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan anasir luar yang cuba mempolitikkan isu perobohan rumah di kawasan berkenaan.
Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Sungai (Sg) Manila, Rahmat Iskandar berkata, sebarang masalah yang dihadapi penduduk boleh terus disalurkan kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sg Manila untuk tindakan lanjut.
“Kemukakan dan maklumkan kepada kami. Masalah itu akan kami rujuk kepada pihak yang berkaitan,” katanya ketika mengulas isu cadangan perobohan rumah di Kg Gayan Sibugal, di sini, pada Ahad.
Rahmat berkata, terdapat pihak tertentu dari luar kawasan yang cuba mempolitikkan isu tersebut sedangkan perkara itu telah pun diselesaikan selepas kata sepakat dicapai dalam satu mesyuarat pada 5 Jun lalu.
Beliau berkata, mesyuarat yang dipengerusikannya itu turut dihadiri Ketua Kampung, Muksan Mijul, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Adisil Komong, selain wakil polis, penguat kuasa dan agensi kerajaan berkaitan.
“Hasil perbincangan yang diadakan, persetujuan bersama semua pihak telah dicapai. Isu ini sebenarnya telah dipolitikkan oleh pihak tertentu walaupun keputusan bersama sudah pun dicapai.
“Ia sengaja dipolitikkan, sedangkan semua pihak telah mencapai kata sepakat dalam mesyuarat tersebut,” ujarnya.
Menurut beliau, hasil perbincangan itu memutuskan sebanyak 50 rumah yang dibina di atas tanah rizab akan dirobohkan mengikut prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya, hanya sebuah keluarga memohon tapak penempatan sementara dan permohonan tersebut telah dipersetujui oleh ketua kampung.
“Semakan yang dibuat mendapati kebanyakan pemilik rumah yang terlibat mempunyai kediaman lain di kampung berkenaan.
“Tiga keluarga dikenal pasti mempunyai rumah di kawasan penempatan sementara, manakala dua keluarga telah berpindah ke rumah ibu bapa masing-masing.
“Seorang lagi ditempatkan sementara di tanah milik Setiausaha JKKK Kampung Sibugal,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya terdapat bayaran dikenakan bagi pemotongan bekalan air dan elektrik, Rahmat menegaskan perkara itu tidak benar.
“Kami telah menghubungi Jabatan Air dan juga Sabah Electricity (SE) dan kedua-dua pihak menafikan dakwaan tersebut.
“Saya menasihatkan penduduk kampung supaya sentiasa berhati-hati dengan maklumat yang diterima serta menghubungi kami sekiranya berdepan sebarang masalah,” katanya.


