
KANOWIT – Penduduk Rumah Edwin Jalak di Nanga Nirok, Sungai Ngemah kini menikmati kemudahan lebih selesa susulan siapnya projek pembinaan anjung baharu bernilai RM150,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, pelaksanaan projek infrastruktur itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasa pembangunan dan kesejahteraan masyarakat di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, walaupun setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya diperuntukkan sekitar 45 projek RTP setahun, kerajaan sentiasa berusaha memastikan pengagihan dibuat secara adil dan menyeluruh mengikut keperluan mendesak masyarakat setempat.
“Sepanjang saya diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat, semua rumah panjang di kawasan Ngemah Tengah menerima manfaat projek RTP berdasarkan keperluan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Projek RTP Pembinaan Anjung Rumah Panjang di Rumah Edwin Jalak pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Anyi mengingatkan penduduk setempat berkenaan kepentingan mengekalkan perpaduan dan semangat kerjasama yang erat.
Tegas beliau, keharmonian komuniti amat penting bagi memastikan setiap keperluan dan permohonan pembangunan dapat disampaikan kepada kerajaan serta agensi berkaitan dengan lebih berkesan.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM8,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan penduduk.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5,000 disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Edwin Jalak, manakala RM3,000 lagi diserahkan kepada Biro Wanita JKKK rumah panjang berkenaan.






