
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah sedang merangka Pelan Hala Tuju Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sabah 2026-2030 bagi membangunkan industri yang lebih mampan dan berdaya saing.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelan lima tahun itu akan menjadi panduan strategik untuk memperkukuh kedudukan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas negeri.
“Pembangunan sektor OGSE tidak boleh bergantung kepada pendekatan kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, PETRONAS dan pemain industri.
“Maklum balas daripada semua pihak berkepentingan akan diambil kira bagi memastikan pelan yang dirangka benar-benar memenuhi keperluan industri,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini pada Khamis.
Teks ucapan disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun pada Persidangan dan Pameran OGSE 2026.
Menurutnya, pelan tersebut perlu bersifat praktikal, diterajui industri dan berorientasikan hasil bagi menangani cabaran sebenar yang dihadapi syarikat tempatan.
“Tiga bidang utama diberi tumpuan iaitu akses kepada modal, peningkatan keupayaan teknikal dan pembangunan bakat tempatan.
“Kemudahan kredit dan modal kerja khusus perlu diwujudkan bagi membantu vendor tempatan membiayai projek luar pesisir yang memerlukan kos tinggi.

“Dalam masa sama, vendor Sabah perlu diperkasa supaya mampu bersaing dalam skop kejuruteraan yang lebih kompleks termasuk integriti aset dan pembangunan projek utama minyak dan gas,” ujarnya.
Hajiji turut menegaskan keperluan menghubungkan peluang pekerjaan teknikal bernilai tinggi secara langsung kepada belia Sabah bagi memastikan tenaga mahir kekal berkhidmat di negeri ini.
“Kerajaan negeri menyasarkan pemilikan kontrak sebanyak 60 peratus oleh vendor OGSE tempatan tahun ini hasil pelaksanaan dasar Jawatankuasa Kecil 4 (SC4) di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS.
“Jumlah kontrak aktif yang diperoleh vendor tempatan meningkat daripada 133 kontrak pada 2021 kepada 499 kontrak aktif pada 2026, manakala 393 vendor Sabah kini telah diiktiraf berdasarkan keupayaan teknikal mereka,” jelasnya.
Tambah Ketua Menteri, Kerajaan Negeri berhasrat syarikat tempatan akan melangkaui peranan sebagai subkontraktor dan berkembang menjadi kontraktor utama, pemegang lesen teknologi serta pencipta nilai ekonomi jangka panjang.
“Sabah kini menyumbang lebih 40 peratus pengeluaran minyak mentah negara dan kira-kira 20 peratus pengeluaran gas asli Malaysia, namun negeri itu tidak boleh terus berpuas hati sebagai pembekal sumber mentah semata-mata.
“Tumpuan kita ialah memastikan lebih banyak kekayaan yang dijana daripada sumber negeri dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan syarikat tempatan yang kukuh serta limpahan ekonomi yang lebih luas kepada rakyat Sabah,” katanya.





