KERAJAAN Persekutuan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memperkasakan sektor pertanian dan agromakanan di Johor menerusi pelbagai bentuk bantuan, peruntukan serta projek pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan pengusaha industri di negeri ini.
Komitmen tersebut selaras dengan kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang menegaskan bahawa pembinaan Kerajaan Perpaduan memerlukan kesabaran, keberanian politik serta kesediaan untuk bekerjasama demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, Johor antara negeri yang menerima perhatian khusus daripada KPKM memandangkan peranannya sebagai antara penyumbang utama sektor agromakanan negara.
Pada tahun 2024, KPKM memperuntukkan sebanyak RM70.12 juta bagi memacu sektor pertanian dan industri agromakanan Johor. Peruntukan itu meliputi pembangunan sektor tanaman, ternakan dan akuakultur, pemerkasaan industri nanas, pemasaran dan eksport hasil pertanian serta pembangunan usahawan agro. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM19.2 juta disalurkan menerusi program kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi mengoptimumkan penggunaan tanah untuk aktiviti pertanian dan agropelancongan.
Sebelum itu, pada 2023, Johor turut menerima peruntukan berjumlah RM30.87 juta daripada KPKM yang merangkumi pembiayaan projek pembangunan negeri, projek jaminan bekalan makanan dan program peningkatan produktiviti sawah padi.
Bagi tahun 2025 pula, KPKM meluluskan peruntukan keseluruhan RM23.4 juta untuk melaksanakan 20 projek berimpak tinggi di Johor di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah. Projek-projek tersebut merangkumi pembangunan industri tenusu melalui projek Jemaluang Dairy Valley, naik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), pembangunan industri nanas, sawah padi, fasiliti pasar tani kekal, agropelancongan serta program pemerkasaan belia tani.
Selain sektor tanaman dan ternakan, Kerajaan Persekutuan turut memberi perhatian kepada pembangunan industri akuakultur Johor yang kini menjadi antara penyumbang utama sumber protein negara. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan bahawa Johor merekodkan pengeluaran hampir 29,000 tan metrik akuakultur dengan nilai melebihi RM796 juta, sekali gus membuktikan potensi besar negeri ini dalam agenda keterjaminan makanan negara.
Pelbagai bantuan dan inisiatif ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan bukan sekadar menyalurkan dana pembangunan, malah turut membantu Johor memperkukuh keseluruhan rantaian bekalan makanan negara melalui pembangunan infrastruktur pertanian, pemodenan sektor agromakanan, pengukuhan usahawan tani, pembangunan belia agro serta peningkatan produktiviti makanan domestik.
Usaha berterusan itu juga selari dengan agenda Johor untuk muncul sebagai hab agromakanan moden negara, sekali gus memastikan rakyat menikmati bekalan makanan yang mencukupi, berkualiti dan pada harga yang berpatutan.
Dengan pelbagai peruntukan yang telah disalurkan, jelas menunjukkan Kerajaan Persekutuan melalui KPKM sentiasa bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Johor dalam membangunkan sektor pertanian dan agromakanan, demi menjamin keterjaminan makanan negara serta meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya komuniti petani, penternak dan nelayan di negeri ini.




