7 lelaki didakwa kes bunuh lelaki ditetak di Pekan Nanas, polis buru lima lagi suspek

PEKAN NANAS – Tujuh lelaki akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pontian hari ini bagi menghadapi pertuduhan membunuh seorang lelaki berusia 22 tahun yang maut akibat ditetak dalam kejadian di luar sebuah premis makanan dan minuman di Pekan Nanas pada bulan lalu.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, kesemua tertuduh merupakan antara 10 individu yang ditahan polis dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar daerah Pontian dan Batu Pahat susulan siasatan terhadap kes pembunuhan tersebut.

Menurut beliau, siasatan yang dijalankan mendapati suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap, manakala motif serangan dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan perekrutan ahli baharu kumpulan berkenaan.

“Polis turut merampas beberapa barang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut termasuk kenderaan, pakaian, topeng muka dan senjata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Hoo berkata, hasil semakan mendapati enam daripada tujuh suspek yang akan didakwa mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah.

Beliau memaklumkan bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Johor semalam sebelum pihak pendakwaan mengarahkan pertuduhan dikemukakan terhadap tujuh suspek terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana melakukan perbuatan dengan niat bersama.

“Ketujuh-tujuh suspek akan didakwa bersama lima lagi individu yang masih diburu polis kerana dipercayai turut terlibat dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, polis kini giat mengesan lima lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan dan melengkapkan tindakan undang-undang terhadap semua pihak yang terlibat.

Menurut Hoo, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Bagi mereka yang tidak dijatuhi hukuman mati, mahkamah juga boleh mengenakan hukuman tidak kurang daripada 12 sebatan.

Sementara itu, tiga lagi individu yang turut ditahan dalam operasi sama telah dibebaskan selepas siasatan mendapati mereka tidak akan dituduh. Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka akan dijadikan saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes tersebut.

Terdahulu, pada 21 Mei lalu, seorang lelaki berusia 22 tahun ditemukan maut di luar sebuah kedai makan di Pekan Nanas selepas dipercayai diserang sekumpulan individu bersenjata.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah pada kedua-dua tangan dan kaki selain beberapa kesan tetakan di bahagian badan yang dipercayai dilakukan di lokasi kejadian.

Kes berkenaan mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat dan menarik perhatian pihak berkuasa berikutan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah terancang serta persaingan dalam kalangan kumpulan kongsi gelap.

Related Posts

Selangor jamin pusat data tidak jejas bekalan air, elektrik rakyat

SEPANG – Kerajaan Selangor memberi jaminan pembangunan pusat data di negeri itu tidak akan menjejaskan bekalan air dan elektrik kepada rakyat, berikutan setiap projek tertakluk kepada syarat ketat sebelum diluluskan.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kajang dijangka bergelar bandar raya kelima Selangor

SHAH ALAM – Kajang dijangka mencapai status bandar raya dalam tempoh satu hingga satu setengah tahun lagi, sekali gus bakal menjadi bandar raya kelima di Selangor. Exco Kerajaan Tempatan, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Dua gol Haaland pastikan City atasi Porto

Dua gol Haaland pastikan City atasi Porto

Selangor jamin pusat data tidak jejas bekalan air, elektrik rakyat

Selangor jamin pusat data tidak jejas bekalan air, elektrik rakyat

Kajang dijangka bergelar bandar raya kelima Selangor

Kajang dijangka bergelar bandar raya kelima Selangor

Residen Miri sahkan lima mangsa nahas helikopter perkhidmatan doktor udara maut

Residen Miri sahkan lima mangsa nahas helikopter perkhidmatan doktor udara maut

Abdul Azeez didakwa di Mahkamah Sesyen esok

Abdul Azeez didakwa di Mahkamah Sesyen esok

Tekong, awak-awak terjun lumpur tinggalkan 8 PATI

Tekong, awak-awak terjun lumpur tinggalkan 8 PATI