89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 39 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 98 101 114 115 97 109 97 32 105 115 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 32 83 101 114 105 32 87 97 110 32 65 122 105 122 97 104 32 104 97 100 105 114 32 107 101 32 73 115 116 105 97 100 97 116 32 77 101 110 103 104 97 100 97 112 32 100 97 110 32 73 115 116 105 97 100 97 116 32 80 101 110 103 117 114 110 105 97 97 110 32 68 97 114 106 97 104 32 75 101
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas naungan, kebijaksanaan dan kepimpinan Seri Paduka Baginda dalam memayungi negara berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
Beliau berkata, di bawah naungan Sultan Ibrahim, Kerajaan MADANI terus melaksanakan amanah mentadbir negara dengan penuh dedikasi dan keyakinan berlandaskan sistem Raja Berperlembagaan serta demokrasi berparlimen.
“Kerajaan MADANI tertegak dan kukuh dengan kesetiaan dan perpaduan rakyat yang rata-rata dipupuk semangat serta tekad untuk membina negara meski berdepan dengan badai dan sikap perkauman.
“Demikian hikmah yang kita warisi dari leluhur bangsa dan pejuang kemerdekaan. Maka muafakat keramat negara tersebut telah menzahirkan Perlembagaan yang menyediakan sistem yang mewajarkan kehadiran sistem beraja sebagai pemelihara agama Islam serta menjamin keadilan dan kesaksamaan rakyat,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika merafak sembah ucapan pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Anwar turut merafak sembah setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Ibrahim atas kebijaksanaan dan kepimpinan Seri Paduka Baginda dalam memayungi negara serta memelihara keharmonian rakyat berbilang kaum.
Menurut beliau, kerajaan akan meneruskan usaha memperkukuh tadbir urus, memerangi ketidakseimbangan ekonomi dan memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh seluruh rakyat.
“Kerajaan bertekad melaksanakan dasar yang saksama, menjamin pengagihan kepada semua negeri dan wilayah terutamanya kalangan miskin dan terpinggir,” katanya.
Menyentuh cabaran semasa, Perdana Menteri berkata ketidaktentuan ekonomi global, perubahan iklim, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan perubahan geopolitik serantau menuntut kerajaan bertindak lebih strategik dalam merangka dasar negara.
“Maka, cabaran mengemudi bahtera negara harus lebih bijak dengan mengharungi kemelut dengan menetapkan dasar dan ikhtiar yang menjamin kestabilan dan mengurangkan beban ditanggung rakyat.
“Antara prakarsa yang dihamparkan termasuk langkah penjimatan cermat, penyasaran subsidi minyak RON95 dan Budi MADANI,” katanya.
Anwar berkata kerajaan juga terus menambah baik program bantuan bersasar, memperkukuh perlindungan sosial dan melaksanakan langkah mengawal kos sara hidup bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
Beliau berkata prestasi ekonomi negara yang terus berkembang, peningkatan aliran pelaburan serta kadar pengangguran yang rendah membuktikan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi Malaysia.
“Reformasi fiskal dilaksanakan dengan berhemat, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana, serta agenda transformasi digital membuka ruang dan peluang pekerjaan bermutu khususnya buat generasi muda,” katanya.
Pada akhir ucapan, Perdana Menteri menjunjung kasih atas pemerintahan Sultan Ibrahim yang disifatkan sebagai lambang perpaduan dan kekuatan negara.
“Seluruh rakyat akan terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda, serta memperteguh azam serta ikhtiar bersama demi kemajuan dan kesejahteraan tanah air tercinta,” ujarnya.
Istiadat pengurniaan berkenaan merupakan kali ketiga disempurnakan Sultan Ibrahim sejak Seri Paduka Baginda ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024.



