
PENAMPANG – Keteguhan perpaduan dan kebersamaan adalah teras utama untuk maju bersama seterusnya memastikan kelestarian pembangunan Sabah selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang komited dan akan terus melipatgandakan usaha bagi memastikan kepesatan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat terus terbela.
“Pelbagai inisiatif sedang dan akan terus dilaksanakan, termasuklah memperkukuhkan ekonomi negeri menerusi agenda yang ditetapkan dalam Hala Tuju Sabah SMJ 2.0.
“Usaha ini termasuklah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan produktiviti sektor pertanian, memperkasa modal insan, melestarikan kesejahteraan rakyat baik di luar bandar mahu pun bandar dan memajukan sektor pelancongan melalui kebudayaan.
“Dalam usaha mencapai matlamat ini, sudah tentulah kerajaan memerlukan segenap lapisan rakyat di negeri ini untuk terus bersatu hati dan bersama dalam membangunkan negeri ini,” katanya pada Majlis Penutupan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA Penampang, pada Ahad.
Sejajar dengan tema sambutan iaitu “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, Ketua Menteri menyeru rakyat terus sepakat, berganding bahu dalam menangani apa juga cabaran.
“Tema ini amat signifikan dengan suasana dan cabaran semasa yang kita sedang hadapi.
“Ketidaktentuan ekonomi, cabaran kenaikan kos sara hidup dan pelbagai cabaran lain menuntut kita untuk terus sepakat, berganding bahu dalam menangani apa juga cabaran,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perayaan tersebut, Hajiji berkata, Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan budaya, tetapi platform penting untuk memelihara tradisi etnik daripada pupus, memupuk toleransi, dan memperkukuh kestabilan politik serta pembangunan negeri.
“Pesta Kaamatan juga mengingatkan kita bahawa setiap usaha yang membuahkan hasil tuaian memerlukan usaha gigih, kesetiaan bekerja dan pengurusan kerjasama. Masa depan Sabah yang makmur tidak akan terbina dengan retorik semata-mata, tetapi melalui kerja keras, kesepakatan, keharmonian dan keikhlasan seluruh lapisan rakyat.
“Semoga Sabah akan terus melangkah ke hadapan sebagai negeri yang aman, sejahtera, maju jaya dan dihormati berteraskan nilai-nilai budayanya yang unik, ditambah dengan sokongan padu daripada rakyat keseluruhannya,” kongsinya.
Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan kehadiran seluruh lapisan masyarakat pelbagai kaum selain presiden-presiden pertubuhan dan persatuan etnik seluruh Sabah.
“Kehadiran kita semua menjadikan perayaan ini bukti perpaduan yang utuh masyarakat Sabah. Tidak lupa kepada semua pelancong yang datang untuk sama-sama memeriahkan perayaan ini.
Perayaan ini adalah manifestasi kesyukuran atas tuaian padi yang melimpah dan simbol perpaduan kaum yang utuh,” katanya.
Majlis Penutupan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan turut hadir sama adalah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2026, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong.



