
UMAT Islam perlu sentiasa berwaspada dengan amaran diberikan Nabi Muhammad SAW, agar berhati-hati ketika menghadapi hari-hari yang penuh dengan tipu daya.
Rasulullah SAW bersabda, pada waktu itu, kebenaran dan amanah akan terletak pada orang-orang yang bodoh dan keji lagi fasik.
Mereka ini digelar sebagai al-Ruwaibidah.
Nabi SAW menyifatkan al-Ruwaibidah dengan dua sifat iaitu sebagai orang yang keji atau kurang ilmunya dan dalam masa yang sama bercakap berkaitan perkara-perkara umum yang besar sedangkan dia tidak mempunyai ilmu padanya.
Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan (Pekan), Datuk Ahmad Irshadi Abdullah berkata, peringatan ini adalah bertepatan dengan keadaan dunia sekarang.
“Kebelakangan ini, kita dapat melihat semacam satu benda biasa apabila mendengar atau melihat kumpulan atau individu tertentu yang tidak arif dalam sesuatu hal, tapi bercakap seperti mereka begitu fasih atau pakar.
“Perkara seperti ini akan membuka ruang kepada masalah kekeliruan dalam bab berkaitan agama Islam dan juga hukum-hakam yang sewajarnya,” jelasnya.
Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipudaya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah.

“Baginda SAW ditanya : Siapakah golongan al-Ruwaibhidah ? maka baginda SAW menjawab: Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar”.
- Riwayat Ibn Majah, kitab al-Fitan, bab zaman yang dahsyat. No. Hadith: 4026. Imam Ahmad, Sahabat yang banyak meriwayatkan hadith, musnad Abu Hurairah. No. Hadith: 7571. Al-Hakim, Mustadrak ‘ala al-Sahihayn, 5 : 659) [Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani RA di dalam Silsilahnya, no. hadith: 1887].
Ahmad Irshadi menjelaskan, terdapat beberapa makna al-Ruwaibidah berdasarkan tafsiran ulama antaranya al-Ruwaibhidah adalah sighah tasghir bagi Rabidhah (رابضة) dan ta’ marbuthah di akhirnya bagi menunjukkan mubalaghah.
- al-Rabidhah ialah seseorang yang lemah dan tenggelam di dalam hal-hal keduniaan dan sentiasa menginginkannya. [Lihat: Hasyiah al-Sindi ‘ala Ibn Majah, 2 : 494]
- Riwayat di dalam Musnad Ahmad mengatakan: Orang yang bodoh bercakap perkara umum. [Musnad Ahmad, no. hadith 7912]
- Riwayat di dalam Syarh Musyhkil al-Athar: Orang yang fasiq bercakap perkara umum.[Syarh Musyhkil al-Athar, no. hadith 13299]
- Imam al-Syatibi di dalam al-‘Itisham: Orang yang bodoh dan keji bercakap berkaitan perkara umum sedangkan dia bukan ahli dalam perkara tersebut tetapi masih ingin bercakap. [al-‘Itisham, 3:100]
Fiqh al-Hadith
“Akhirnya, semoga Allah SWT jadikan kita dalam kalangan hamba-hambaNya yang berilmu, soleh serta sentiasa beramal dengan ilmunya,” katanya.







