RAMAI manusia ketika ini terlalu mudah menjadi ‘postman’ atau ‘tukang forward’ di media sosial dalam berkongsi sesuatu maklumat tanpa mengetahui kesahihannya, semata-mata ingin menjadi nombor satu dalam menyampaikan berita.
Penegasan itu ditekankan dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Adab Media Sosial: Jangan Sia-siakan Pahala’ yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).
Menurut teks khutbah berkenaan, ketika ini kebanyakan umat Islam memandang dosa menyebarkan perkara negatif di media sosial dianggap ringan, sedangkan di sisi Allah SWT, ia boleh menjadi sangat berat.
Malah, katanya, kadangkala manusia sangat menjaga percakapannya di hadapan orang ramai, tetapi apabila berada di media sosial, lidahnya menjadi sangat ringan berbicara melalui bentuk tulisan dan komen yang pedas, keras dan mengguris perasaan orang lain.
“Sememangnya media sosial telah sebati dan menjadi sebahagian daripada komunikasi dalam kehidupan masa kini. Ada menggunakannya pada perkara positif seperti berniaga, berdakwah, belajar, menghubungkan silaturahim dan sebagainya.
“Namun tidak kurang juga menggunakannya secara negatif seperti mencaci, memfitnah, membuka aib, sebar kebencian, mencari perhatian manusia, selain menghina institusi Raja, menyebarkan berita tanpa ditapis, bergaduh dalam ruangan komen dan paling berat sehingga mengejek agama dan hukum Allah SWT,” katanya.
Kata khutbah Jumaat itu, Islam tidak mengajar umatnya menjadi penyebar fitnah dan penyampai maklumat membabi buta, seperti mana Allah berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya”.
Menurutnya, satu butang ‘share’ oleh menyebabkan terputus persahabatan, persaudaraan, runtuhnya rumah tangga, maruah seseorang menjadi hancur, pergaduhan yang tiada kesudahan, dosa fitnah akan tersebar tanpa henti dan tiada penghujung sehingga ia terus mengalir selagi hantaran itu dibaca dan disebarkan manusia.
“Bayangkan seseorang itu rajin solat, bersedekah, rajin ke masjid membaca al-Quran tetapi dalam masa sama menghina orang di Facebook, mengumpat di WhatsApp, memfitnah di TikTok, mengejek orang di Instagram, serta menyebarkan aib orang lain di Telegram.
“Akhirnya pahala amalannya dipindahkan kepada orang yang dizaliminya. Inilah bahaya apabila media sosial tidak dikawal dengan iman dan takwa. Antara dosa besar yang sangat banyak berlaku di media sosial ialah membuka aib orang lain,” katanya.
Lebih memelikkan, khutbah Jumaat itu menegaskan, manusia ketika ini gemar berlumba-lumba membuka aib sendiri mahupun orang lain demi mendapatkan tontonan, pengikut dan populariti sehingga beranggapan menjadikan dosa orang sebagai hiburan.
“Media sosial boleh menjadi medan pahala yang besar jika digunakan dengan betul.
Bayangkan jika kita berkongsi ayat al-Quran, menyebarkan hadis Nabi SAW, mengajak
manusia solat, berkongsi ilmu bermanfaat, menenangkan hati manusia, membantu
orang susah dan menyebarkan kebaikan.
“Maka semua kebaikan ini akan terus menerus
menjadi pahala yang akan mengalir selagi ia dimanfaatkan manusia. Mudah-mudahan kita menjadi pengguna media sosial yang bertakwa, beradab dan sentiasa menjaga pahala amal kita. Oleh itu didiklah anak-anak tentang adab media sosial.
“Jadilah pengguna internet yang berakhlak, gunakan teknologi untuk manfaat umat dan
perbanyakkan menyebarkan ilmu dan nasihat yang baik. Semoga Allah SWT memelihara
lidah, hati dan jari kita daripada melakukan dosa yang akan menghapuskan pahala,” katanya.





