Sabah Tea contoh kejayaan GI, perkasa ekonomi produk tempatan

RANAU – Di sebalik kehijauan ladang teh yang terbentang luas dengan latar Gunung Kinabalu serta dikelilingi hutan hujan tropika purba, Sabah Tea terus mengukuhkan kedudukannya bukan sekadar sebagai produk minuman tempatan, malah simbol warisan dan identiti unik Sabah yang diiktiraf melalui perlindungan harta intelek.

Produk teh yang dihasilkan di Sabah Tea Plantation itu menjadi antara contoh terbaik bagaimana sesuatu produk tempatan mampu berkembang menjadi aset ekonomi bernilai tinggi apabila identiti dan keasliannya dilindungi menerusi petunjuk geografi (GI).

Memperkasa produk tempatan

Keunikan Sabah Tea turut menjadi fokus semasa Program Jelajah Harta Intelek yang diperkenalkan sebagai inisiatif baharu untuk mengenal pasti serta memperkasa produk tempatan yang berpotensi dilindungi dan dikomersialkan sebagai aset harta intelek.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata, program yang dilaksanakan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu bertujuan memperkasakan gerakan menjadikan harta intelek, khususnya GI, sebagai aset strategik dalam meningkatkan nilai ekonomi produk tempatan.

Menurut beliau, pemilikan harta intelek seperti GI, cap dagangan, corak dan hak cipta mampu meningkatkan daya saing sesuatu produk bukan sahaja di pasaran domestik, malah sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Program ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada produk baharu yang mempunyai potensi keaslian dan keunikan untuk didaftarkan sebagai harta intelek, tetapi juga membimbing produk sedia ada yang telah memiliki perlindungan tersebut,” katanya ketika menghadiri program berkenaan baru-baru ini.

Lambang identiti sendiri

Sabah Tea merupakan antara produk tempatan terawal berjaya didaftarkan di bawah perlindungan GI di Malaysia dan dihasilkan oleh Desa Tea Sdn. Bhd. yang telah berada di pasaran sejak 1978 selepas pembukaan ladangnya pada 1973.

Lebih menarik, ladang seluas kira-kira 6,200 ekar itu turut dikelilingi hutan hujan tropika berusia lebih 130 juta tahun yang masih terpelihara sehingga hari ini.

Faktor geografi, cuaca tanah tinggi dan persekitaran semula jadi tersebut menjadi antara elemen penting yang menyumbang kepada identiti tersendiri Sabah Tea sehingga melayakkannya menerima perlindungan GI.

Armizan berkata, pengiktirafan itu bukan diberikan sewenang-wenangnya kerana sesuatu produk perlu memenuhi ciri tertentu termasuk unsur keaslian, reputasi, keunikan dan kaitan dengan asal-usul geografi produk tersebut.

“Sabah Tea adalah satu-satunya produk teh di Malaysia yang menerima pendaftaran perlindungan harta intelek melalui petunjuk geografi,” katanya.

Destinasi pelancongan

Selain terkenal dengan penghasilan teh berkualiti, Sabah Tea juga berkembang sebagai destinasi pelancongan berasaskan pengalaman yang menawarkan suasana alam semula jadi, penginapan dan aktiviti rekreasi kepada pengunjung tempatan serta luar negara.

Malah, pembangunan jenama itu kini tidak lagi tertumpu kepada pengeluaran teh semata-mata apabila pelbagai produk hiliran turut dihasilkan termasuk aiskrim dan cenderamata berasaskan teh.

Menurut Armizan, kewujudan produk seperti Sabah Tea bukan sahaja membantu meluaskan pasaran tempatan dan antarabangsa, malah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat selain menyumbang kepada ekonomi negara.

Tertinggi daftar GI

Beliau berkata, Sabah mempunyai potensi cukup besar dalam pembangunan produk berasaskan keunikan tempatan sama ada dari segi geografi, budaya mahupun warisan masyarakat setempat yang boleh diteroka dan diketengahkan melalui perlindungan harta intelek.

Sebagai rekod, sehingga April 2026, sebanyak 130 pendaftaran GI direkodkan di Malaysia dan daripada jumlah itu, 31 adalah dari Sabah sekali gus menjadikan negeri berkenaan antara yang tertinggi dalam pendaftaran GI di negara ini.

Related Posts

Penemuan kedua tulang dalam guni cetus persoalan

KANGAR – Penemuan kedua tulang dipercayai rangka manusia dalam tempoh kira-kira dua minggu di Behor Mali di sini mencetuskan persoalan netizen apabila lokasi baharu itu hanya kira-kira 200 meter dari…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bangunan warisan Georgetown perlu diaudit secara sistematik demi keselamatan

GEORGE TOWN – Audit struktur secara sistematik dan pemeriksaan berkala terhadap bangunan warisan di negeri ini perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan awam terutama membabitkan premis berusia puluhan hingga ratusan tahun.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Harga runcit petrol, diesel tanpa subsidi turun 5 sen seliter

  • By Aden
  • August 5, 2026
Harga runcit petrol, diesel tanpa subsidi turun 5 sen seliter

Penemuan kedua tulang dalam guni cetus persoalan

Penemuan kedua tulang dalam guni cetus persoalan

Cik Man meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung

Cik Man meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung

Kerajaan percepat proses 15,000 permohonan pekerja asing bantu sektor ekonomi

Kerajaan percepat proses 15,000 permohonan pekerja asing bantu sektor ekonomi

Bangunan warisan Georgetown perlu diaudit secara sistematik demi keselamatan

Bangunan warisan Georgetown perlu diaudit secara sistematik demi keselamatan

Rumah dibeli terbengkalai, suami isteri tanggung sewa dan pinjaman serentak

Rumah dibeli terbengkalai, suami isteri tanggung sewa dan pinjaman serentak