TEBRAU – Pembangunan pesat yang sedang berlaku di Johor sememangnya wajar dihargai, namun kejayaan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai hasil usaha kerajaan negeri semata-mata tanpa mengiktiraf peranan besar Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan pelbagai projek strategik dan pelaburan utama.
Ahli Parlimen Tebrau merangkap Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, banyak projek mega serta pelaburan penting yang dilaksanakan di negeri ini tidak mungkin dapat digerakkan hanya oleh kerajaan negeri, sebaliknya bergantung kepada sokongan dasar, penyelarasan serta peruntukan daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Menurut beliau, pembentukan Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan dibuat atas dasar kestabilan politik negara serta bagi mengelakkan politik ekstrem daripada terus memecahbelahkan masyarakat.
“Pakatan Harapan sebelum ini telah menunjukkan keterbukaan dan semangat kerjasama termasuk memberi ruang kepada Barisan Nasional dalam pentadbiran negeri seperti di Selangor demi kestabilan dan kepentingan bersama.
“Bagaimanapun, pendekatan yang berlaku di Johor kini berbeza apabila terdapat pihak yang secara terbuka menyatakan hasrat untuk bertanding di semua kerusi, selain menggambarkan pelbagai kejayaan pembangunan negeri seolah-olah dicapai sepenuhnya oleh kerajaan negeri tanpa mengambil kira sumbangan besar Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Jimmy menegaskan, kejayaan Johor dalam menarik pelaburan asing dan pembangunan ekonomi bukan sekadar hasil promosi pelaburan negeri, sebaliknya melibatkan perancangan menyeluruh Kerajaan Persekutuan termasuk dasar fiskal, percukaian, dasar pelaburan, mekanisme kelulusan serta hala tuju ekonomi negara.
Katanya, pelbagai projek berskala besar seperti pembangunan industri pusat data, Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), projek naik taraf Hospital Sultanah Aminah serta perancangan sistem pengangkutan awam Autonomous Rail Transit (ART) bernilai sehingga RM10 bilion membuktikan bahawa banyak inisiatif pembangunan negeri itu memerlukan campur tangan, pembiayaan serta kerjasama erat Kerajaan Persekutuan.
“Politik boleh bersaing, tetapi fakta tidak boleh dipadam. Parti politik boleh menuntut kredit, namun hasil pembangunan untuk rakyat tidak wajar dijadikan alat propaganda sebelah pihak.
“Kemajuan Johor harus dilihat sebagai hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, malah dalam beberapa projek strategik, peranan Persekutuan disifatkan sebagai faktor penentu kepada kejayaan pelaksanaannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru Kerajaan Negeri Johor serta pemimpin politik berkaitan agar lebih jujur dalam memperjelaskan fakta pembangunan negeri dan tidak meminggirkan sumbangan Pakatan Harapan serta Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, rakyat Johor cukup matang untuk menilai dan memahami bahawa politik sebenar bukan sekadar soal merebut kredit, tetapi mengiktiraf kerjasama, menghormati fakta dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.








