
KUANTAN – Hari Hol Pahang adalah merujuk kepada tarikh khas bagi memperingati kemangkatan Sultan-sultan Pahang terdahulu, khususnya Sultan Pahang ke-empat, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah mangkat pada 7 Mei 1974.
Ia juga diisytiharkan sebagai cuti umum negeri dengan turut dikenali sebagai Hari Hol Diraja Pahang dan disambut dengan pelbagai pengisian acara keagamaan seperti tahlil, bacaan Yasin, doa selamat, serta ziarah makam diraja di Pekan.
Tujuan utama Hari Hol ialah untuk mengenang jasa dan kepimpinan Sultan yang telah mangkat serta memperkukuh nilai sejarah, warisan diraja, dan penghormatan kepada institusi kesultanan dalam kalangan rakyat.
Sejak tahun 2021, tarikh sambutan Hari Hol Pahang ditetapkan pada 22 Mei setiap tahun, bertepatan dengan tarikh kemangkatan Sultan Pahang ke-lima, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Sultan Pahang yang mangkat pada 22 Mei 2019.
Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Pekan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari ketika menjelaskan pengertian sambutan Hari Hol menjelaskan, sambutan itu bukan sekadar majlis peringatan, malah satu cerminan hubungan kukuh antara institusi kesultanan dan agama, adat dan jati diri Melayu.
“Hari Hol Pahang pada asalnya bertujuan memperingati kemangkatan Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’adzam Shah yang mangkat pada 7 Mei 1974.
“Baginda dikenang bukan hanya sebagai pemerintah adil dan berjiwa rakyat, tetapi juga sebagai Raja yang sangat cakna terhadap urusan agama Islam.
“Almarhum juga berperanan dalam penubuhan serta pemerkasaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang pada tahun 1950, serta penguatkuasaan kembali jawatan Mufti kepada Kadi Besar selain penubuhan institusi pendidikan Islam seperti Kuliah alLughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar pada tahun 1941,” katanya.
Ahmad Irshadi memaklumkan, legasi Al-Sultan Abu Bakar itu disambung Almarhum Sultan Ahmad Shah dengan mengekalkan pentadbiran berteraskan konsep tauhid yang menjadikan agama sebagai teras segala urus tadbir.

Tanda mercu betapa Almarhum Sultan Ahmad Shah menitik berat pendidik Islam dengan menubuhkan Maahad Tahfiz al-Quran Tengku Ampuan Afzan Pekan dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Baginda sendiri pada bulan disember tahun 1993.
Maahd Tahfiz Tengku Ampuan Afzan adalah maahad tahfiz yang pertama melahirkan para hufaz yang menguasai Ilmu Turath dan Ilmu Kontemporari.
Ada antara pelajar yang berkelulusan dari maahad tersebut menyandang jawatan Imam, kadi, pensyarah, pegawai kerajaan.
Ujarnya, dalam kerangka Islam, penguasa adalah ‘Waliy al-Amr’ yang wajib menjamin terlaksananya perintah Allah di muka bumi.
“Maka dalam konteks Pahang, Sultan sebagai ‘Ulil Amri’ bertanggungjawab memperkukuh pemahaman tauhid umat, menjadikan agama Islam sebagai rukun kenegaraan dan mendidik rakyat dengan dasar yang menjurus kepada pengesaan Allah SWT.
“Inilah antara warisan yang diwarisi melalui Hari Hol – peringatan terhadap pemimpin yang memartabatkan Islam sebagai asas pemerintahan,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (Lantikan) Pahang.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Pahang untuk menjadikan Hari Hol sebagai detik penuh penghormatan dan ingatan terhadap jasa serta legasi Almarhum Al-Sultan Abu Bakar dan Almarhum Sultan Ahmad Shah.
Mewakili warga dan lepasan Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Pekan, Ahmad Irshadi mendoakan semoga roh Almarhum dicucuri rahmat, ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh serta diangkat darjat di sini Allah SWT.
“Sesungguhnya jasa dan kasih sayang Almarhum terhadap rakyat dan negeri ini akan kekal terpahat dalam lipatan sejarah serta dikenang sepanjang zaman,” ujarnya.





