
KUCHING – Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dijangka mungkin diadakan lebih awal berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak susulan ketidaktentuan dan pergolakan landskap politik yang melanda negara ketika ini.
Sehubungan itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menggesa seluruh rakyat Sarawak agar menolak sepenuhnya budaya politik toksik dan perpecahan.
Beliau berkata, rakyat Sarawak perlu kekal bersatu hati di bawah payung kepemimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan kelancaran agenda pembangunan Sarawak yang disasarkan menjelang 2030 tidak terbantut.
“Tanggungjawab mempertahan kestabilan politik Sarawak bukan sahaja terletak di bahu pemimpin, malah wajib dipikul oleh seluruh rakyat termasuk anak Sarawak di perantauan serta komuniti di ruang siber.
“Sokongan padu dan solidariti bersama-sama kerajaan GPS amat kritikal dalam tempoh yang penting ini untuk meneruskan kesinambungan pembangunan yang pesat,” katanya.
Selain itu, Dr Sim turut memberikan amaran keras agar rakyat dan kerajaan sentiasa berwaspada terhadap ancaman yang cuba meruntuhkan keharmonian yang dibina.
Jelas beliau, ancaman yang berniat jahat itu berpotensi muncul dalam pelbagai bentuk, baik daripada pihak luar, anasir dari dalam Sarawak sendiri, mahupun musuh dalam selimut di dalam parti GPS.
Tambahnya lagi, kestabilan politik dan perpaduan kukuh pada hari ini membuahkan hasil apabila Sarawak kini menjadi sebuah negeri yang dipandang tinggi, dihormati serta menjadi kebanggaan seluruh rakyatnya.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)





