
KABONG – Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan Op Tapis yang dijalankan di sekitar Kabong pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, operasi khas tersebut dijalankan sepasukan anggota daripada Pasukan Petugas Khas Op Tapis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok kira-kira jam 10 pagi hasil risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pasukan operasi yang diketuai Inspektor Henry Muji telah menjalankan pemeriksaan terhadap seorang lelaki Melayu dalam keadaan mencurigakan sebelum menemukan beberapa paket dipercayai mengandungi dadah jenis syabu.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas beg silang milik suspek menemui lapan paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Saratok bagi membantu siasatan serta menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Tambah beliau, suspek yang berasal dari Kampung Alit, Kabong itu turut mempunyai enam rekod lampau membabitkan kesalahan berkaitan dadah serta jenayah lain termasuk curi dan ugutan jenayah.
“Antara rekod lampau suspek ialah dua kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang telah dijatuhkan hukuman pada tahun 2020 dan 2023 selain beberapa kes lain direkodkan sepanjang tahun 2024,” ujarnya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.






